PERTANDINGAN terbuka hingga 31 Ogos.
Aniza Zainudin


Pertandingan ‘Paint The Town Green Award’ anjuran Platinum Victory antara usaha menyuntik inspirasi dan menyokong bakat tanah air dalam menyalurkan idea serta sentuhan reka bentuk atau landskap.

Memfokuskan kepada reka bentuk mampan dan kreatif, pertandingan ini turut memberi tumpuan pada tiga aspek utama, reka bentuk dalaman, landskap dan seni bina (reka bentuk mural dinding, awam, ruang sosial) serta fasad restoran (dalaman dan luaran) bagi projeknya, The Palette.

Ruang komersial seluas 7.4 ekar bertempat di Setapak ini dijangka bakal dibuka sepenuhnya kepada awam suku keempat tahun ini.

Platinum Victory menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak termasuk universiti, institusi dan rakan strategik juga penaja, Kansai Paint untuk membentuk persaingan positif dalam bidang reka bentuk.

Pengarah Eksekutifnya, Gan Yee Hin berkata,

penganjuran pertandingan ini bertujuan memberi kembali kepada masyarakat menerusi platform pendidikan.


REKA bentuk yang lestari untuk The Palette.

“Pertandingan ini menjadi medium untuk generasi muda berkongsi bakat mereka dalam mewujudkan reka bentuk yang inovatif dan lestari.

“Pada masa sama, kita juga ingin menyemai pemikiran sivik dan minat dalam kalangan peserta untuk menghasilkan reka bentuk mesra alam.

“Sebagai pereka muda dan pejuang ekosistem, mereka memainkan peranan penting untuk menyelamatkan bumi bagi generasi akan datang,” katanya dalam satu kenyataan media.

Pertandingan ini terbuka kepada semua warganegara Malaysia yang berusia 18 tahun dan ke atas sekali gus berpeluang membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM23,000.

Penyertaan ini terbuka kepada individu ataupun secara berkumpulan (maksimum lima orang).

Setiap penyertaan mestilah merangkumi reka bentuk keseluruhan untuk kawasan ‘hardscape’ dan ‘softscape’ mengikut tema ditetapkan iaitu Lestari.

Selain itu, peserta juga perlu mengemukakan reka bentuk masing-masing dengan ringkas lakaran berkenaan.

Barisan panel juri terdiri daripada Pengarah Kreatif Arkilab, Michael Gibert, pengasas In Publisher, Iko In, arkitek landskap Hashim Design, Nur Maihan Muhammad dan wakil daripada Platinum Victory.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 6 Julai 2019 @ 8:41 AM