LUANGKAN masa untuk membersihkan bilik mandi.
Aniza Zainudin


Kebersihan tandas dan bilik mandi tidak sewajarnya diabaikan kerana ia sentiasa menjadi satu daripada penanda aras tahap penjagaan kebersihan penghuninya.

Sebenarnya proses pembersihan tandas ataupun bilik mandi tidak perlu dilakukan secara besar-besaran kerana kita boleh melakukannya hampir setiap hari.

Sewajarnya kita memperuntukkan lima minit awal sebelum mandi untuk mencuci bilik mandi.

Cara paling mudah, semburkan cecair pencuci di bahagian dinding dan lantai, kemudian gosok menggunakan berus ataupun span.

Kaedah lain bagi memastikan keberkesanan, kita juga boleh menggunakan air panas atau suam untuk dicampurkan bersama bahan pencuci.

Selain menggunakan bahan pencuci kimia, kita boleh menghasilkan sendiri agen pencuci semula jadi dengan menggunakan barangan yang ada di dapur seperti campuran serbuk bikarbonat dan cuka.

Campuran serbuk soda bikarbonat dan cuka ini kemudian disapukan di jubin lantai atau dinding yang kotor selama beberapa minit, sebelum ia dibilas.

Alternatif kepada campuran agen semula jadi ini adalah lemon dan garam.

Selalunya proses pembersihan jubin dinding dan lantai ini dilakukan dengan teknik mencuci bahagian kurang kotor ke kawasan paling kotor.

Bagi membersihkan bahagian atau sudut ‘tersembunyi’ antara lantai dan dinding, sebaiknya menggunakan berus yang lebih kecil seperti berus gigi terpakai ataupun span.

Jadi, pembersihan menjadi lebih mudah malah berkesan.

Sekiranya ingin mencuci jubin atau mangkuk tandas yang kotor atau mempunyai karat, disarankan menggunakan bahan peluntur dicampur bersama air bagi mengelakkan kerosakan jubin.

Selain itu, hos paip tidak seharusnya dilupakan. Anda dinasihatkan mencuci hos dan bahagian dalamnya dengan menggunakan span.

Selepas membersihkan mangkuk tandas, sedikit semburan pewangi semula jadi seperti lemon atau limau kasturi di dalam mangkuk tandas, tempat duduk tandas dan penutupnya pasti dapat mengurangkan bauan tidak menyenangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 12:46 PM