RASUK kayu oak menjad iciri
Susunan Aniza Zainudin


Mengadaptasi ketidaksempurnaan, meraikan proses dan objek semula jadi menjadi idea kepada konsep sentuhan yang ada pengaruh Jepun iaitu wabi-sabi. Ia konsep pilihan arkitek, Sergey Makhno.

Memiliki kediaman peribadi iaitu apartmen dupleks di Kiev, arkitek ini menerapkan dua kombinasi nilai estetika Jepun dan Ukraine, sekali gus mengangkat idea minimalis.

Reka bentuk apartmen yang memiliki keluasan 175 meter persegi itu memiliki teres berbumbung, ruang tamu terbuka, ruang makan dan dapur.

Lebih unik, setiap perincian dan perabot yang melengkapi kediaman keluarga Sergey itu direka khusus olehnya sendiri.

Bagi Sergey, apartmen berkenaan adalah ‘jambatan’ yang menghubungkan pertembungan dua budaya negara berbeza.

Pilihan palet warna gelap disuai padan dengan permukaan bertekstur kasar bagi mewujudkan ‘mood’ tenang ketika bermeditasi.

Melangkah masuk ke ruang tamu, aura negara matahari terbit seakan-akan terasa apabila terdapat sentuhan rasuk kayu oak dipasang pada bahagian atas. Ini satu daripada ciri kediaman Jepun tradisional.


DINDING kaca sebagai pembahagi ruang.

Mengekalkan idea dan jati diri, beliau turut mempamerkan koleksi seramik Cucuteni-Trypillian yang mewakili budaya warisan Ukraine.

Bagi bilik tidur utama pula, Sergey turut membawa meja kayu dari abad ke-17 sebagai subjek penting yang disempurnakan dengan batu lava purba dan pelbagai alatan kayu lain.

Antara tarikan lain adalah dinding kaca gaya Crittal menjadi pembahagian antara ruang bilik tidur, bilik mandi dan pemandangan luar.

Menurut Sergey, beliau menitikberatkan integrasi antara ciri-ciri yang merujuk kepada empat elemen seperti dinding diperbuat daripada tanah liat (bumi), pemasangan seni (api), lukisan (air) dan pelan berkonsep terbuka (udara).

Merujuk kepada perabot direka khas Sergey, ia termasuk siri koleksi tembaga, lampu seramik berwarna biru yang digantung di atas meja makan, bilik tidur serta dapur.

Bagi Sergey, tarikan idea dekorasi Jepun tercetus sejak beliau membabitkan diri secara aktif dalam sukan karate.

Apatah lagi beliau sangat menghargai bahan semula jadi dan bertekstur kasar kerana ia secara tidak langsung melambangkan kebenaran dalam kesederhanaan.


MINIMALIS antara estetika Jepun dan Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:10 AM