ELEMEN ketenangan.
Oleh Aniza Zainudin


Pilihan bekerja dari rumah menjadi trend popular hari ini.

Jadual yang fleksibel mengurangkan tekanan di persekitaran tempat kerja dan sifar masalah pengangkutan membuatkan ramai memilih bekerja dari rumah.

Lebih menarik, trend pekerjaan ini turut memberi idea kepada suri rumah menggunakan kepakaran dan kemahiran mereka untuk menjana pendapatan peribadi secara tidak langsung.

Oleh itu, ruang kerja di rumah perlu diwujudkan bagi membantu pekerja ini menyempurnakan tugasan mereka dengan lebih teratur di sudut khas.

Berikut antara panduan yang boleh dikongsikan bagi mencipta ruang kerja peribadi mengikut idea dan cita rasa individu:

1. Pilih sudut yang sesuai

Pejabat di rumah seharusnya mempunyai kriteria selesa bagi membolehkan anda

fokus dengan tugasan atau kerja.

Sekiranya keluasan kediaman tidak terlalu besar, mungkin anda boleh menggabungkan atau menggunakan satu ruang sedia ada bagi mewujudkan ruang kerja seperti dalam bilik tidur.

Berbeza situasi sekiranya kediaman anda lebih besar. Namun sebaliknya elakkan ruang tamu kerana ia ruang untuk bersosial, malah suasana selalunya agak bingit boleh mengganggu tumpuan ketika bekerja.

2. Pilih konsep ikut cita rasa

Seperti tata hias kediaman, anda juga seharusnya memilih konsep yang bersesuaian dan sedap mata memandang.

Konsep minimalis antara pilihan popular. Usah terlalu sarat dengan perhiasan ‘fancy’ kerana ia membuatkan ruang kerja lebih serabut.

Bagi memastikan ruang kerja sentiasa kemas, disiplin harus bermula daripada diri anda.

3. Wujudkan pembahagi ruang

Ruang kerja tidak memerlukan keluasan yang besar sekadar dilengkapi perabot dan perkakasan kerja.

Pembahagi ruang paling mudah adalah mengecat dinding bagi sudut ruang kerja kerana ia lebih murah malah jimatkan ruang.

Bagi mewujudkan keceriaan dan menyebarkan aura positif, anda juga boleh bermain dengan pilihan warna kontra.

4. Pilihan perabot yang tepat

Pilih meja dan kerusi yang bersesuaian dengan ruang kerja. Sebaiknya ia tidak terlalu besar hingga mengganggu laluan mahupun kelihatan serabut di ruang berkenaan.

Pilihan yang dicadangkan adalah rekaan ringkas dan menarik kerana ia bukan hanya menitikberatkan fungsinya bahkan mencantikkan lagi sudut.

Selain itu, pemilihan rak ataupun kotak menarik juga bersesuaian bagi memastikan bahan material kerja disusun sempurna dan mudah dicari sekiranya diperlukan.

5. Pencahayaan

Faktor ini penting untuk ruang kerja kerana ia pencahayaan semula jadi terutama dapat membantu mengurangkan kos utiliti.

Sebaliknya sudut kerja ini diletakkan berdekatan dengan tingkap.

Sekiranya anda mengalami stres ketika bekerja, anda boleh rehatkan diri dengan pemandangan dan udara segar di luar rumah.

6. Dekorasi

Dekorasi ruang kerja memainkan peranan penting untuk mengurangkan tekanan ketika bekerja.

Jadi, letakkan sedikit elemen hijau atau biru yang sering menjadi simbolik ketenangan.

Bagi cetusan semangat, tidak salah untuk meletakkan poster motivasi mahupun gambar keluarga.


PENCAHAYAAN penting bagi ruang kerja.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 November 2019 @ 7:27 AM