PEMANDANGAN landskap Laman Darul Iman yang berkonsepkan ‘Modern Terengganu Courtyard.’
Oleh Helmy Abd Rahman


WALAUPUN lebih dua bulan berlalu, Festival Bunga dan Taman Putrajaya (Floria Diraja Putrajaya) 2019 masih diperkatakan terutama dalam kalangan peminat seni landskap tanah air.

Antara landskap yang menjadi perhatian adalah dari Terengganu diwakili Majlis Perbandaran Dungun (MPD) yang membawakan reka bentuk dikenali sebagai Laman Darul Iman berkonsepkan ‘Modern Terengganu Courtyard’ (halaman moden Terengganu).

Berkongsi mengenainya, Pengarah Jabatan Landskap MPD, Ahmad Faisal Ishtiyaq Ahmed berkata, landskap berkenaan menerapkan dua ikon baharu dan lama Terengganu iaitu Terengganu Drawbridge serta Batu Bersurat.

“Proses reka bentuk bermula pada Jun dan pemilihan untuk menampilkan konsep ini dibuat hasil perbincangan bersama PBT (pihak berkuasa tempatan) Terengganu, Yang Dipertua MPD (Lizan Che Mat) dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kerja pembinaan mengambil masa tiga minggu membabitkan khidmat 20 kakitangan dan pegawai MPD serta PBT Terengganu lain. Landskap ini siap sepenuhnya dua hari sebelum hari perasmian,” jelasnya.

Menurutnya, tahun ini kali ketiga Terengganu menyertai acara itu dan berjaya mendapat tempat ketiga sekali gus membawa pulang pingat gangsa bagi kategori sektor awam serta korporat.

Kategori berkenaan dimenangi Majlis Bandar Raya Iskandar Puteri yang mendapat pingat emas manakala Majlis Bandar Raya Johor Baharu pula membawa pulang pingat perak.

Pengiktirafan tertinggi iaitu ‘Floria Garden Prime Award’ pula digondol Dewan Bandar Raya Kuala Lumpur (DBKL).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 November 2019 @ 5:10 AM