UDARA dalam rumah juga beracun.
UDARA dalam rumah juga beracun.
Nurul Husna Mahmud

UDARA tidak sihat selalunya ditumpukan kepada persekitaran luar berbanding dalam rumah, sedangkan pengkaji di Barat menggambarkan udara dalam rumah tiada bezanya dengan situasi di luar.

Lebih berbahaya apabila sistem pengudaraan dalam ruang kediaman kurang baik disertai aktiviti harian termasuk memasak dan mencuci boleh memberi impak kepada ekosistem persekitaran.

Pilihan bagi yang berkemampuan pastinya memiliki pembersih udara tapi bagaimana situasinya dengan mereka yang tidak mampu memiliki perkakas elektrik berkenaan?

Kali ini dikongsikan beberapa pilihan tanaman bukan saja dapat ditanam dalam rumah malah membantu menapis udara kotor.

Aloe vera

Elemen entiseptik dan baik untuk kulit mungkin sudah disedari kebaikan yang ada pada tumbuhan ini.

Kebaikan lain perlu diketahui apabila tanaman itu mampu menangkis kimia berbahaya dalam udara seperti benzena dan formaldehid.

Letakkan ia pada sudut bilik atau ruang yang tentunya secara tidak langsung memberikan kesan baik pada kitaran udara ruang terbabit.

SUSUNAN pasu pelbagai bagi tanaman lidah mentua mampu membangkitkan suasana di laluan bertangga.
SUSUNAN pasu pelbagai bagi tanaman lidah mentua mampu membangkitkan suasana di laluan bertangga.

Lidah mentua

Unik namanya setanding dengan kelebihan dimiliki tumbuhan ini iaitu pembekal oksigen yang baik.

Ia setanding dengan pokok berdaun seperti pokok ara (ficus) dan sirih gading (photos) dalam membekalkan udara diperlukan manusia.

Tidak hairan ia boleh menjadi penapis udara organik apabila mampu menyingkirkan kehadiran gas merbahaya seperti benzene, formaldehid, xylene, dan toluene.

Pokok lelabah (spider plant)

Penemuan menarik mengenai tumbuhan ini pernah dijadikan kajian oleh saintis Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Kebangsaan (NASA) Bill Wolverton apabila pokok lelabah ini mampu menyerap kandungan racun dalam udara sekitar 90 hingga 95 peratus.

Fakta ditemui ialah tumbuhan ini menyerap racun itu sebagai ‘udara’ untuknya bernafas sebelum ia dipindahkan ke akar di mana mikrobiob yang ada akan naturalkan komponen terbabit.

l Selain pokok berkenaan ada beberapa lagi tumbuhan dalam yang boleh dijadikan penapis udara termasuk paku pakis dan paku langsuir.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:00 AM