BOLEH menjadi fokus sudut atau ruang
Nurul Husna Mahmud

SEBUAH penerbitan kreatif Perancis, Goodmoods melancarkan koleksi seramik berwarna lembut yang meniru rekaan botol plastik sedia ada dalam pasaran.

Wujud dalam empat potongan dengan masing-masing menampilkan sekurang-kurangnya tiga daripada enam pilihan warna termasuk merah bengal, kuning semalu, putih meringue dan hijau cemara.

Secara tidak langsung seleksi botol itu menampilkan 12 variasi yang boleh digunakan sebagai pasu, botol air dan juga sebagai barang hiasan di ruang dalam kediaman.

Menurut wakil Goodmoods, Julia Rouzaud, projek mengeluarkan rekaan botol seramik menyerupai potongan botol plastik sebagai solidariti pihaknya yang juga mewakili sebahagian artis kreatif terhadap amalan lestari dalam pengurangan penggunaan plastik seharian.

“Kami mahu hasilkan sesuatu daripada komponen semula jadi dan seramik adalah bahan yang tidak lapuk dek zaman selain ia tahan lama.

“Menariknya mengenai rekaan botol ini yang tidak mempunyai ‘liang,’ ia diuji untuk bebas daripada kandungan logam berat seperti kadmium dan plumbum selain tidak rapuh,” katanya yang juga bekerjasama dengan pengeluar tembikar di Provence Perancis Jars Ceramistes untuk hasilkan botol unik terbabit.

PERHIASAN sempurna di kepala katil.

Nilai estetika dimiliki botol ini apabila tampil dalam tona warna ‘matte’ (kusam) menyaluti luaran botol.

Dalam aspek lain iaitu menekankan kerja pertukangan tinggi dalam pembuatan seramik, ia membuatkan botol seramik boleh memberi impak sebagai dekorasi visual cukup unik.

Pada satu tahap seperti ditampilkan dalam poster produk itu kelihatan botol berkenaan mampu ditampilkan baik sebahagian daripada dekorasi meja makan mahupun sesuai untuk tata rias ruang kediaman yang lain termasuk bilik air.

Menggunakan campuran tanah liat khas iaitu kaolin (tanah liat putih) dan mineral ‘feldspar’ (batu berhablur berwarna putih atau merah), permukaan lebih licin selain rekaan turut menitikberatkan keseimbangan bentuk baik lengkungan leher dan rona warna yang digunakan.

Selain projek botol seramik ini, pereka kreatif Goodmoods pernah menghasilkan jubin daripada plastik untuk meningkatkan peranan kitar semula plastik kepada produk lain yang boleh dikomersialkan kembali.

WARNA ala kusam atau 'matte' bagi koleksi botol seramik Goodmoods

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 January 2020 @ 6:05 AM