Muhamaad Razis Ismail

DI luar rumah flat dalam kondominium. Demikian, ungkapan pertama penulis sebaik masuk ke dalam sebuah kediaman di Seksyen 10, Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Sebelum itu, penulis sendiri terfikir bagaimana sebuah rumah flat yang memiliki dua bilik di tingkat empat dihias indah berikutan keadaan ruang yang terhad.

Bagaimanapun, kontraktor pendingin hawa Mohd Faizal Saad, 40, dan isterinya Aina Zainudin, 40, ini tidak menjadikannya sebagai penghalang malah berjaya membuktikan kediaman yang berkeluasan 600 kaki persegi itu tampil dengan dekorasi menarik.

Pasangan suami isteri ini berganding bahu menggunakan konsep selesa dan pada masa sama sedap mata memandang biarpun dalam keadaan ruang yang cukup minimum sejak lapan tahun lalu.

Sebaik tiba di hadapan pintu masuk, penulis sudah dapat mengagak ini adalah kediaman mereka apabila terdapat beberapa pokok hiasan yang disangkut pada jeriji.

Apabila melangkah masuk, penulis nyata terpegun melihat keadaan dalam rumah yang dicat dengan kombinasi warna ungu dan kelabu dipadankan pula dengan kertas dinding menggunakan corak bunga kelihatan ‘luas,’ biarpun di luar nampak kecil.

PERABOT yang bersesuaian menyediakan ruang lebih luas. FOTO Amirudin Sahib

Penggunaan perabotnya tidak banyak tapi mencukupi dan ruang yang terhad dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memberi keselesaan kepada keluarga serta tetamu.

Di ruang tamu, turut terdapat sebuah almari kaca yang menempatkan beberapa topi keledar kesayangan milik Mohd Faizal yang meminati aktiviti konvoi motosikal.

Paling menarik perhatian penulis adalah dinding berhampiran meja makan ‘dilekatkan’ dengan kayu palet terbuang dihasilkan sendiri bapa kepada dua anak ini.

LUAR rumah turut ditempatkan pokok hiasan. FOTO Amirudin Sahib

Mohd Faizal berkata, sebelum ini kediaman itu pada mulanya disewakan sebelum dia bersama isteri mula tinggal di situ selepas berkahwin.

Katanya, pada ketika itu keadaan kediaman seperti rumah flat biasa.

“Sebagai permulaan, saya mengupah kontraktor memasang jubin dan membuat siling rumah.

“Kemudian semua kerja pengubahsuaian rumah saya buat sendiri hasil idea daripada isteri dan mujurlah saya boleh melakukan kerja pendawaian yang sedikit sebanyak menjimatkan kos.

KOMBINASI warna terang dan gelap menampakkan ruang tamu lebih luas. FOTO Amirudin Sahib

“Kebanyakan perabot dan barang ini dibeli sendiri dengan harga murah sesuai dengan ruang rumah terhad. Kami tidak berani beli barang yang banyak dan besar untuk mengelakkan rumah menjadi lebih sempit.

“Pada saya biarlah nampak ‘simple’ tapi selesa dan sedap mata yang memandang,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Sementara itu, Aina berkata, idea untuk menghias rumah diperoleh daripada majalah dan perkongsian dengan rakan.

“Kadangkala saya pergi ke IKEA untuk mendapatkan idea baru dan segar di sana. Daripada situ, saya cuba aplikasikan sebaik mungkin dengan mengambil kira ruang rumah yang agak kecil.

MOHD Faizal dan Aina bersantai di ruang tamu rumah. FOTO Amirudin Sahib

“Tapi pada saya itu bukan penghalang kerana kita perlu ‘bijak’ menyusun perabot di dalam rumah sebaik mungkin,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa depan, dia tidak menolak kemungkinan untuk mengecat rumahnya dengan warna lain yang masih belum diputuskan.

“Dalam masa terdekat memang kami tidak akan buat dekorasi secara besar-besaran untuk mengelakkan ruang di dalam rumah tidak terjejas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 18 January 2020 @ 7:00 AM