BILIK muzik
Hafiz Ithnin


KEJAYAAN sebuah rekaan seni bina bukan terletak hanya pada keindahannya semata-mata. Setiap elemen yang diwujudkan perlu mempunyai makna tersendiri dan paling utama memberi manfaat kepada penghuninya.

Jika menerapkan konsep kelestarian pasti ia menjadi satu reka bentuk premis yang memberi kesan positif dalam pelbagai sudut, bukan sahaja manusia malah alam semula jadi.

Begitu juga dengan kemampuan seni bina Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru, Kota Kinabalu ini yang mula beroperasi pada 1 April tahun lalu mempunyai reka bentuk luaran dan hiasan dalaman yang unik.

Dari luar tidak kelihatan ia sebuah perpustakaan kerana reka bentuknya tidak ubah seperti sebuah pusat membeli-belah atau hotel mewah.

Bangunan berkeluasan 62,000 kaki persegi itu turut diiktiraf Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sebagai penerima Anugerah Projek Terbaik 2019 bagi kategori nilai pembangunan antara RM20 juta hingga RM100 juta.

Ketua Cawangan, Perpustakaan Cawangan Tanjung Aru, Nelly Joseph Green berkata, perpustakaan itu mempunyai enam aras dengan setiap satunya mempunyai konsep tata hias yang berbeza mengikut kategori pengunjung seperti kanak-kanak, remaja, dewasa dan individu yang inginkan ruang privasi untuk menelaah pelajaran.

“Jika melihat perpustakaan ini dari atas ia berbentuk sebuah buku terbuka yang mencerminkan perpustakaan. Dalam masa yang sama, ia juga mempunyai konsep ruang terbuka iaitu pengunjung di atas boleh meninjau mereka yang berada di aras bawah dengan jelas.

SUSUNAN kemas perabot dan permainan ruang di dalam perpustakaan yang lebih santai.

“Tidak sekadar itu, memandangkan setiap aras mempunyai kategori pengunjung sasaran, diwujudkan konsep seperti warna dan aksesori hiasan yang berbeza. Contohnya di aras satu untuk kanak-kanak mempunyai hiasan hidupan laut dan warna lebih dekat dengan si kecil,” katanya.

Seperti yang dinyatakan di awal tadi, perpustakaan itu juga mempunyai elemen kelestarian dalam seni binanya apabila di bahagian hadapan diletakkan cermin polos dan berlapis ukiran tradisional Sabah.

Mengenai ukiran itu pula ia dilihat sebagai satu motif tradisional yang klasik diadun dengan bijak untuk sebuah bangunan komersial yang mempunyai ceritanya tersendiri.

Meskipun berlapis dengan ukiran berkenaan tetapi ia tidak menghalang kemasukan cahaya semula jadi dari luar bangunan sekali gus dapat menjimatkan penggunaan elektrik. Selain itu, bangunan berkenaan turut menggunakan tadahan air hujan di dalam tandas bagi tujuan pembersihan.

Dari segi susun atur perabotnya juga kelihatan begitu kemas dan segar kerana tidak disaratkan dengan rak buku dan sofa. Justeru apabila pengunjung datang ia lebih tampak bebas untuk berada di dalam sebuah perpustakaan.

Nelly berkata, sesuai dengan konsep ingin menukar persepsi mengenai perpustakaan sebuah lokasi yang senyap dan penuh privasi, perpustakaan itu juga dilengkapi dengan elemen hiburan kerana terdapat sebuah bilik muzik yang lengkap.

SUSUNAN kemas perabot dan permainan ruang di dalam perpustakaan yang lebih santai.

Katanya, bilik muzik berkenaan dilengkapi dengan sistem kalis bunyi yang membantu menjadikan ruang pembelajaran berhampiran dengannya tidak terganggu.

“Perpustakaan ini juga mempunyai bilik-bilik pembelajaran khas yang ditaja syarikat tertentu untuk mengadakan program seperti robotik dan ia mendapat sambutan yang menggalakkan daripada

orang ramai.

“Selain itu, bagi golongan dewasa yang menginginkan ruang privasi untuk membaca atau belajar, di sini ada ruang seperti kapsul di bahagian tepi yang selesa untuk mereka. Selain itu, kemudahan tempat mengecas juga disediakan berhampirannya,” katanya.

Ketika berkunjung ke sana, penulis paling tertarik apabila berada di ruang remaja kerana di situ

ada sudut berehat yang diletakkan jaring membolehkan kumpulan pengunjung itu lebih santai berada di dalamnya sama ada duduk atau baring.

Nelly memaklumkan, di luar perpustakaan itu juga mempunyai sebuah taman yang sering menjadi destinasi orang ramai mengunjunginya sama ada untuk beriadah atau merakam gambar.

“Perpustakaan ini sememangnya unik dan serba lengkap untuk pengunjung kerana

reka bentuk dan hiasan dalamannya yang unik. Selain itu, kita juga ingin mempromosikan orang ramai bahawa perpustakaan juga antara destinasi yang menarik untuk dikunjungi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 8 Februari 2020 @ 6:00 AM