LALUAN mencanak sepanjang satu jam pertama pendakian.
MOHD Khalid bergambar bersama pasukan Kembara Srikandi Prihatin di puncak Gunung Datuk.
Fairul Asmaini Mohd Pilus


Melalui trek berbatu yang mencanak atau lebih dikenali dengan panggilan ‘trek pacak’ adalah antara habuan yang menjadi cabaran pasukan Kembara Srikandi Prihatin (KSP) dalam sesi latihan bulanan mendaki Gunung Datuk, di Rembau, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Gunung Datuk adalah gunung ketiga di Negeri Sembilan yang berjaya ditakluk pasukan KSP selepas Gunung Angsi pada Februari serta Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun, bulan lalu, sebagai persediaan bagi ekspedisi menawan puncak tertinggi di Eropah, Gunung Elbrus, Russia sempena kemerdekaan negara, pada Ogos ini.

Gunung yang turut dikenali sebagai Gunung Beradat itu adalah antara pergunungan di Negeri Sembilan yang terkenal dalam kalangan penggemar sukan mendaki tempatan.

Terletak di Kampung Batang Nyamor iaitu kira-kira 21 kilometer (km) dari Pekan Rembau dan 15km dari Pekan Tampin, gunung ini mempunyai ketinggian 884 meter dari paras laut.

Latihan berkenaan diketuai Timbalan Presiden Persatuan Kembara Negara (PKN) Ahmad Fakhri Abu Samah atau lebih dikenali sebagai Manai yang juga penasihat program KSP.

Berbeza daripada sesi sebelumnya, latihan turut disertai Presiden PKN Tan Sri Mohd Khalid Yunos, penulis yang mewakili Harian Metro (akhbar rasmi ekspedisi), pasukan Bank Negara serta rakan pendaki yang semuanya seramai 35 orang.

Selepas sarapan kira-kira jam 8 pagi, pendaki perlu membayar permit kebenaran mendaki RM5 setiap seorang di pondok Jabatan Perhutanan.

Manai juga tidak ketinggalan memberikan taklimat ringkas mengenai aspek keselamatan ketika pendakian dan kami kemudiannya melakukan senaman pemanas badan sebelum memulakan pendakian pada jam 9 pagi.

Berbeza dengan gunung lain, Gunung Datuk sememangnya menyediakan cabaran tersendiri kerana untuk tempoh satu jam pertama, pendaki terpaksa melalui trek pacak dan berbatu sebelum menempuh laluan yang lebih landai menuju ke puncak.

Namun bagi penulis, laluan pendakian Gunung Datuk tidak terlalu ekstrem jika dibandingkan dengan trek pendakian Gunung Telapak Buruk dan Gunung Berembun yang jauh lebih mencabar.

Trek gunung ini agak lurus dan jelas dengan tanda, selain tidak putus-putus berselisih dengan pendaki lain membuatkan ianya senang untuk diikuti meskipun tanpa khidmat pemandu arah.

Begitupun, malang tidak berbau apabila salah seorang pendaki dari pasukan Bank Negara terjatuh pada awal pendakian menyebabkan tangan kirinya cedera hingga terpaksa dibawa ke Hospital Tampin.

Jarak dari bawah hingga ke puncak adalah kira-kira 2.8km dan meskipun terpaksa mengambil giliran mendaki terutama di laluan berbatu sempit kerana pengunjung yang ramai, pasukan KSP berjaya tiba di puncak dalam masa dua jam.

Menurut Pengarah Projek, Ummu Farah Haidar Zulkifli atau lebih dikenali dengan panggilan Myra, dalam jarak demikian, pendaki yang sudah biasa dengan selok-belok gunung boleh sampai di puncak dalam masa satu jam sahaja.

“Namun untuk latihan kali ini, kami meletakkan sasaran untuk sampai di puncak dalam tempoh dua jam selepas mengambil kira jumlah pendaki yang ramai kerana ia adalah hari minggu, selain pendaki juga membawa bebanan berat sekitar lima hingga 10 kilogram.

“Apa yang diberi tumpuan dalam sesi latihan mendaki Gunung Datuk ini adalah ketahanan stamina dan setiap pendaki berjaya turun dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Dalam pada itu, pasukan KSP serta pendaki lain turut tidak melepaskan peluang naik ke puncak berbatu menggunakan tangga yang disediakan walaupun penulis sendiri agak fobia dengan ketinggiannya.

Pasukan KSP yang terdiri daripada Ummu Farah, Ahli Jawatankuasa PKN Fazilah Abd Manan bekas pesakit kanser, Renee Aziz Ahmad serta penulis sendiri, berpeluang merakam gambar kenangan di puncak berbatu berkenaan bersama Mohd Khalid.

Selepas hampir dua jam berehat melepaskan lelah, pasukan KSP akhirnya bergerak turun namun belum pun sampai di pertengahan perjalanan, kami diuji dengan hujan lebat yang mencurah-curah dan mujurlah masing-masing membawa baju hujan.

Di sepanjang laluan, air mengalir laju menuruni trek laluan dan ia tidak ubah seperti air terjun menyebabkan penulis dan rakan lain terpaksa memperlahankan langkah.

Myra mahupun Fazilah tidak putus-putus mengingatkan Renee serta penulis supaya berhati-hati kerana dalam keadaan demikian, laluan trek menjadi lebih licin berbanding biasa dan boleh mendatangkan bahaya kepada kami.

Menurut Myra, dalam keadaan seumpama itu, pemakaian kasut mendaki yang sesuai dapat melindungi kaki daripada sebarang kecederaan kerana rekaan tapaknya mempunyai cengkaman yang lebih berbanding kasut sukan biasa.

Ia terbukti apabila penulis sendiri menyaksikan beberapa pendaki amatur yang mendaki dengan memakai kasut sukan biasa jatuh ‘terjelepok’ hingga ada yang cedera ketika melalui laluan berlumpur dan licin.

Sementara itu, di sebalik halangan laluan trek berlumpur dan licin, pasukan KSP akhirnya tiba di kaki gunung kira-kira jam 3 petang.

Selepas membersihkan badan, kami bertolak pulang dan dalam perjalanan, pasukan KSP singgah menikmati hidangan tengah hari masakan popular masyarakat Negeri Sembilan, daging salai masak lemak di sebuah restoran di pekan Rembau.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2017 @ 5:42 AM