NASI kabsah ayam.
AGLIO olio daging bakar.
CHICKEN lolipop.
SALAD.
AZADAN bersama sebahagian hidangan yang terdapat di Rabbani Lamb House.
Hidayatul Akmal Ahmad


Sajian makanan Asia Barat semakin mendapat tempat di hati warga tempatan. Tidak hairanlah menu seperti nasi mandy, mandy lamb, kabsah ayam dan salad antara menu yang sering menjadi pilihan.

Menyedari wujudnya permintaan tinggi terhadap sajian Asia Barat memberi idea buat anggota kumpulan Rabbani, Azadan Abdul Aziz membuka restoran Rabbani Lamb House di Myfoodloft Kuala Lumpur, bersebelahan Jakel Mall KL.

Menariknya restoran beroperasi dari jam 11 pagi hingga 11 malam setiap hari ini menyediakan bukan saja hidangan bufet pada waktu malam tetapi turut diiringi persembahan beberapa kumpulan nasyid dan penyanyi tempatan.

Azadan berkata, restoran yang baru dibuka Mei lalu itu menyediakan hidangan tempatan dan Barat seperti chicken chop, lamb chop, nasi goreng, mi goreng serta menu untuk kanak-kanak.

“Terdapat lebih 30 menu di sini. Antara menu yang paling mendapat sambutan adalah nasi mandy dan chicken lolipop. Nasi mandy kami dihasilkan daripada beras basmathi bermutu tinggi serta kambing yang diimport dari Australia.

“Bahan mentah digunakan adalah segar bagi menjamin serta menjaga kualiti rasa. Cef dibawa khas dari Timur Tengah bagi memberi rasa asli kepada pelanggan,” katanya ketika ditemui di restoran miliknya, baru-baru ini.

Rabbani Lamb House mampu memuatkan kira-kira 170 orang pelanggan dalam satu masa. Selain itu, restoran berkenaan menerima tempahan katering untuk majlis perkahwinan, hari lahir, akikah, keraian dan sebagainya.

Rabbani Lamb House juga menawarkan pakej dengan bajet pelanggan untuk membuat majlis di restoran itu. Restoran berkenaan menukar menu baru setiap minggu bagi memberi lebih pilihan kepada pelanggan.

Mengenai harga, Azadan berkata dia sememangnya meletakkan harga yang berpatutan dan mampu supaya semua golongan boleh menikmati menu di restorannya.

“Harga menu di sini bermula RM9.90 sahaja. Selain itu, kami turut menyediakan teh sebagai minuman utama iaitu teh Sherif namun masih menyediakan minuman lain bagi memenuhi kehendak pelanggan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 20 Ogos 2017 @ 1:10 AM