LATIHAN di iM4U Sentral.
SESI latihan berlangsung di stadium.
HAFIZ memberi taklimat.
KONTINJEN bendera dijayakan SMK Hillcrest.
KUMPULAN Tarian Merdeka (TMD) SMK Hillcrest Gombak Selangor.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Setiap kali menonton persembahan sempena sambutan Hari Kebangsaan menerusi televisyen, pelajar tingkatan empat Sekolah Menengah Kebangsaan Hillcrest Gombak, Selangor Muhammad Aliff Izahar berasa teruja dengan aksi penari terbabit.

Malah mengimpikan peluang sama untuk dirinya muncul sebahagian daripada penari terbabit, dia tidak betah melepaskan peluang itu pada ulang tahun Sambutan Kemerdekaan Malaysia Ke-60 apabila menyertai ‘Team Merdeka Dance’ atau Kumpulan Tarian Merdeka (TMD) bersama 29 rakan lain.

Meskipun perlu berkorban masa dan tenaga sepanjang sebulan latihan bermula dari sekolah sehinggalah raptai penuh, kata Aliff pengalaman itu berbaloi kerana dia berasa bangga dapat menjadi sebahagian daripada kumpulan perarakan itu.

“Sebelum ini saya sering mengikuti perarakan mahupun sambutan kemerdekaan menerusi televisyen sahaja. Lihat penari mengenakan pakaian berwarna-warni sambil memegang pelbagai bendera, itu selalu membuatkan diri saya tertanya apa perasaannya berada dalam kelompok itu.

“Bermula rasa ingin tahu kemudian ada segelintir daripada kawan saya pernah menyertai TMD tahun sebelumnya menggalakkan saya turut mencuba, keinginan untuk menyertai perarakan atau persembahan kemerdekaan meluap-luap. Tahun ini ibarat rezeki terpijak, saya terpilih menjadi sebahagian penari TMD SMK Hillcrest bagi sambutan kemerdekaan tahun ini,” katanya.

Menurut Aliff, satu perkara dia belajar mengenai TMD ialah komitmen dan disiplin tinggi diperlukan membolehkan dia serta rakannya dapat menari dengan sempurna.

“Sejak saya menyertai TMD banyak perkara berubah terutama soal disiplin dan pengorbanan saya perlu lakukan. Selalunya rutin saya pergi sekolah dan pulang serta berehat di rumah melainkan ada aktiviti sekolah antaranya latihan tarian.

“Tetapi sejak saya terbabit dalam latihan sempena sambutan kemerdekaan ini, saya kena bangun lebih awal iaitu kira-kira 4.30 pagi selain perlu mengikuti sesi latihan setiap hari berlanjutan sehingga tujuh jam bagi mendapatkan gerak tari sempurna.

“Selain itu tidak dinafikan, ada sesi pembelajaran terpaksa saya tinggalkan kerana komitmen baru ini. Mujurlah rakan serta guru membantu saya baik segi nota dan rujukan. Lebih mencabar peperiksaan dijadualkan pertengahan Ogos terpaksa kami tangguhkan dan hanya dapat diselesaikan selepas tamat persembahan 31 Ogos nanti.

“Saya bernasib baik keluarga memahami serta memberi sokongan sepanjang sibuk dengan persembahan kemerdekaan itu. Saya berharap ramai rakyat Malaysia akan turun memenuhi Dataran Merdeka menyaksikan secara langsung persembahan Merdeka kali ini,” katanya.

Rakannya Syasya Adlina Azlan pula berkata, debaran makin hebat menjelang 31 Ogos kerana sebelum ini tiada pengalaman membuat persembahan di khalayak umum apatah lagi sambutan kemerdekaan ini antara acara penting dan terbesar diraikan negara.

“Saya memang berminat dengan tarian dan apabila mengetahui adanya pemilihan untuk peserta TMD wakil sekolah, saya mencuba nasib dan terpilih. Waktu itu saya fikirkan ialah pengalaman baru selain dapat mempelajari koreografi menarik daripada jurulatih utama.

“Awalnya kami dilatih guru dan kemudian dipantau oleh jurulatih utama, tetapi dua minggu kemudian kami menjalani latihan bersama penari mewakili Selangor di iM4U Sentral dan Stadium Panasonic, seterusnya raptai penuh dengan semua penari serta pasukan terbabit selama seminggu di Dataran Merdeka.

“Boleh dikatakan perasaan berbeza-beza, kerana di sekolah kita berlatih secara rapat dengan guru serta rakan tetapi di Stadium Panasonic dan Dataran Merdeka suasananya berlainan kerana lebih luas dan meriah. Jujur apabila raptai penuh semangat saya bertambah apabila adanya iringan pancaragam serta pasukan lain turut menyertai kami. Ini membantu saya menguasai perasaan gementar di dataran,” katanya.

Bagi guru pengiring, Muhammad Hafiz Ismail menyifatkan peluang menjadi sebahagian daripada penari mahupun peserta sambutan kemerdekaan satu pengalaman baik buatnya serta pelajar terbabit.

“Sebenarnya pihak sekolah sudah terbabit tiga tahun sejak 2014 lagi. Semestinya terpilih menjadi sebahagian pasukan berkenaan satu kebanggaan buat sekolah kerana percaya dengan kemahiran pelajar kami.

“Pemilihan pelajar mahupun sekolah dari Selangor dibuat berdasarkan prestasi tinggi dalam bidang luar selain akademik contohnya sekolah SMK Hillcrest berdasarkan kecemerlangan dalam tarian. Selain saya dua lagi guru pengiring Amira Sariyati Mohd Fadzil dan Nurul Diana Mohd Adnan terbabit melatih serta menguruskan pelajar terbabit dalam TMD.

“Awal peringkat latihan, kami guru dilatih jurulatih utama mengenai koreografi dan kemudian kami akan mengajar peserta terbabit. Seterusnya apabila peringkat negeri serta di Dataran Merdeka terutamanya tugas melatih akan diambil sepenuhnya oleh jurulatih utama.

“Setiap pelajar menerima empat persalinan dan sesi latihan mereka bermula seawal jam 7 pagi hingga jam 2 petang. Rata-rata saya berpuas hati dengan kesungguhan serta semangat pelajar yang sanggup mengikuti latihan bagi memastikan persembahan berlangusung dengan jaya,” katanya.

Sementara itu Pengetua SMK Hillcrest Alimah Abu Noh menzahirkan perasaan bangga dengan penyertaan pelajarnya dalam acara sambutan kemerdekaan itu.

“Sambutan Hari Kebangsaan 2017 dengan tema ‘Negaraku Sehati Sejiwa’ amat bermakna kepada kami warga SMK Hillcrest. Selaku Pengetua SMK Hillcrest berasa terharu dan bangga kerana anak didik saya adalah antara ribuan peserta yang terlibat dalam acara sambutan kemerdekaan yang diadakan di Dataran Merdeka pada 31 Ogos.

“Ini adalah medan terbaik bagi mereka untuk menzahirkan kecintaan terhadap negara. Semangat patriotik mereka turut diuji dan disemai melalui komitmen yang padu. Seterusnya menuntut pengorbanan masa dan tenaga menghayati erti kemerdekaan sebenar.

“Saya menyeru pelajar SMK Hillcrest untuk mempamerkan persembahan yang mantap lagi dikagumi. Peluang hanya datang sekali. Gunakannya sebaik mungkin. Ini adalah satu pengalaman yang mahal harganya yang akan terpahat dalam lipatan sejarah sebagai nostalgia abadi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 September 2017 @ 12:26 AM