JELAS tekstur daging sekali gus membuktikan kualiti segar.
AZMAN bersama sebahagian menu yang terdapat di restoran terbabit.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Nama Las Vacas dipetik daripada perkataan Sepanyol bermaksud lembu. Pemilihan perkataan itu sebagai nama restoran secara tidak langsung menunjukkan kesungguhan Pengarah Vacas Glo Sdn Bhd, Freddy Azman dalam menyajikan hidangan barat menggunakan daging berkualiti premium halal pada harga berpatutan.

Berkongsi rahsia keenakan seleksi sajian daging terdapat di restoran Las Vacas@Glo Damansara itu, katanya, setiap hidangan yang diletakkan pada pinggan dipasti menggunakan bahan terbaik terutama daging halal import dan sayuran mahupun herba tempatan segar.

Tidak dinafikan pe­ngalaman merasai sendiri hidangan Stik Striploin Grain Beef tanpa sebarang kuah mahupun sos mengundang kepuasan pada tunas rasa kerana daging disajikan bukan saja lembut, malah mempunyai kemanisan dan lemak seimbang.

Lebih menarik, kata Freddy, tiada herba mahupun rempah sarat menyaluti daging, sebaliknya sukatan garam dan lada hitam mencukupi sudah mampu menaik rasa enak daging terbabit.

Tidak dilupakan hidangan popular Beef Wrap turut disaluti kuah khas mengundang rasa kagum. Kuah itu tidak menjejaskan rupa daging, malah menonjolkan kualiti dari segi tekstur dan rasa.

Menurut Freddy, daripada hidangan stik sehing­ga pati burger patti, pihaknya mengambil kira semua aspek termasuklah pada awal penyediaan daging.

“Pengalaman Las Vacas bermula dengan perniagaan jualan daging segar import halal dari Australia. Pelanggan ketika itu sentiasa meminta pandangan kami mengenai cara penyediaan hidangan mengikut bahagian daging dibeli.

“Itu mendorong saya bersama seorang rakan mula memanggang daging untuk hidangan stik. Tidak sangka daripada restoran kecil dua meja, kini kami sudah berkembang dengan pelbagai jenis masakan terutamanya stik dan mempunyai lebih 30 pilihan mengikut jenis dan potongan daging.

“Daging lembu saja terdapat lebih 10 jenis termasuklah daging Wagyu, ‘Australian Grain-Fed Beef’, ‘Australian Grass-Fed Beef ‘ dan mengikut potongan tertentu.

“Kami turut memasarkan produk iaitu daging kambing dan semuanya segar.

“Pelanggan Las Vacas boleh pergi ke ruang pamer sejuk untuk memilih potongan daging mereka inginkan. Kami akan sediakan mengikut pilihan menu dan dihidangkan panas.

“Hasrat kami untuk memberi peluang kepada peminat daging merasai sajian yang berkualiti restoran kelas elit tetapi pada harga berpatutan.

“Selain itu, tujuan asal kami ialah mahu meraikan hasil segar ladang tempatan tetapi pada masa sama mutu sajian memenuhi standard hidangan disajikan di restoran antarabangsa.

“Malah, setiap menu menggunakan bahan tempatan kami sesuaikan agar sepadan de­ngan kualiti daging terbaik dunia iaitu Australia,” katanya.

Tidak mengetepikan pelanggan tidak dapat menjamah daging, kata Freddy, pihaknya turut menampilkan menu terbaru iaitu Fish and Chips dan Salmon Grill bagi mewujudkan persekitaran restoran lebih santai serta mesra pelanggan.

Pilihan minuman cok­lat baik panas mahupun dihidang sejuk antara mesti dicuba pelanggan di sini. Selain Las Vacas @Glo Damansara, terdapat lima lagi lokasi Las Vacas boleh dikunjungi peminat hidangan daging antara­nya di Kelana Jaya, Bukit Kiara, di Jalan Yap Kwan Seng Pusat Bandaraya, Sunway Putra Mall dan IOI Putrajaya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 September 2017 @ 2:28 AM