SHARIFFUDDIN berharap lebih ramai belia mengikut jejak langkahnya.
NAZIRAH percaya usahawan kecantikan antara bidang perniagaan boleh diceburi.
RIAS kuku antara skil diajar kepada peserta.
ZAMANHURI melatih anak untuk terbabit dalam bidang perniagaan.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my


Slogan ‘From Zero To Hero’ menjadi teras penggerak kepada program Kasih Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) Kerakyatan Ekonomi Selangor yang berlangsung di Shah Alam baru-baru ini.

Program berkenaan membabitkan lebih 30 syarikat juga mengagihkan dana berupa geran memulakan perniagaan kepada 100 peserta terpilih serata Selangor.

Tujuan bagi membantu meningkatkan kualiti hidup peserta sekali gus merangsang perkembangan ekonomi industri usahawan kecil dan sederhana (IKS).

Dalam program berkenaan yang mengamalkan konsep ‘mentor-mentee’, peneraju industri bermula dengan makanan minuman, kecantikan sehinggalah pelancongan dan mereka akan berkongsi pengalaman bersama peserta dipilih daripada golongan sasaran.

Peserta program terbabit memperoleh latihan dan skil membabitkan industri tertentu membolehkan mereka bergerak serta menjana pendapatan sendiri menerusi aktiviti perniagaan dan usahawan.

Kelas skil dan kit mula niaga

Menurut wakil dari Tini Spa, Siti Nurul Nazirah Junaidi, program ini memberi manfaat terutamanya kepada belia menganggur dan ibu tunggal.

Katanya, kumpulan belia pasti ternanti-nanti program atau modul menjurus kepada kecantikan ini tetapi dilema biasanya dihadapi golongan itu ialah tiada saluran.

Kata Nazirah, syarikat terbabit turut mempunyai akademi dandanan dan urutan perbidanan. Semestinya melatih lebih ramai usahawan kecantikan khusus buat belia menganggur mahupun golongan ibu tunggal adalah antara hasrat yang ingin dicapai.

“Berdasarkan pengalaman sendiri, dulu sukar untuk menceburi bidang perniagaan kecantikan kerana tiada bimbingan mahupun panduan diberikan.

“Tetapi atas nama minat, saya cari inisiatif sendiri menerusi Facebook dan media lain. Jadi pada saya apabila PKNS menganjurkan projek seperti ini, golongan sasaran itu haruslah mengejar peluang bagi mendapat manfaat ditawarkan antaranya kelas dan kit memulakan perniagaan.

“Selepas program mereka sudah boleh bergerak sendiri, contohnya memulakan projek mobil spa dan urutan yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan wanita di Malaysia,” katanya.

Hubung usahawan dan pengalaman

Bagi pengusaha produk cop dan cetakan, Ahmad Zamanhuri Zakaria menerusi syarikatnya ANQK Flash Stamp dilantik sebagai mentor dia tidak lokek berkongsi tip dengan usahawan baru mengenai pengalaman hampir 15 tahun dalam perniagaan.

“Syarikat saya sudah lama berada dalam bidang ini sejak 2003 lagi. Selaku orang lama, saya gembira dapat berkongsi peluang dan teknologi terbaru dalam perniagaan yang saya usahakan.

“Tidak banyak syarikat Bumiputera menceburi bidang ini dan melalui program Kasih PKNS Kerakyatan Ekonomi Selangor, saya harap lebih ramai akan menyertai khususnya kalangan belia.

“Risiko rendah kerana mereka akan dibantu dari segi menguasai kemahiran, pengetahuan selain teknologi terkini. Malah bantuan perniagaan diberi dalam bentuk pinjaman sehingga RM5,000. Belia dan ibu tunggal yang berminat dengan program ini bolehlah menghubungi kami atau merujuk pada PKNS,” katanya.

Sedia banyak peluang

Sementara itu Pengurus Chommel Areca Enterprise yang menyediakan Kios Ayam Gunting dan Kios Milo Premium, Shariffuddin Isnan berkata, peluang masih terbuka luas untuk belia merebut peluang perniagaan yang ringkas ini.

“Perniagaan ini boleh menjana pendapatan tambahan antara RM1,500 hingga RM3,000 sebulan dan syarikat kami menerima kuota yang besar untuk golongan belia mengikuti program bimbingan ini.

“Pinjaman modal pula disediakan sepenuhnya dengan bayaran balik serendah RM45 hingga RM53 seminggu, jadi saya berharap lebih ramai belia di Lembah Klang tidak melepaskan peluang keemasan ini untuk menjadi usahawan menerusi program berkenaan,” katanya.

Mereka yang berminat menjadi usahawan boleh melayari www.facebook.com/usahawanmiloselangor.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Disember 2017 @ 2:44 PM