PESERTA dilepaskan kira-kira jam 7 pagi.
Zaitie Satibi
zaisa@hmetro.com.my

Lebih 1,000 peserta mengambil bahagian acara kayuhan basikal Elmina Mountain Bike (MTB) Jamboree anjuran Sime Darby Property di Bandar Elmina berhampiran Shah Alam dan Sungai Buloh, baru-baru ini.

Program berkenaan merangkumi dua kategori iaitu perlumbaan dan jambori sejauh 33 kilometer (km) dengan laluan off-road yang direka khas dengan kedua-duanya berlangsung di sekitar hutan simpan seluas 1,092 hektar berhampiran Bandar Elmina.

Ketua Pegawai Operasi Sime Darby Property, Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, sukan basikal Elmina Mountain Bike (MTB) Jamboree kali ketiga dianjurkan itu menarik penyertaan pelumba profesional dari luar negara seperti Filipina, Afrika Selatan, Denmark, Belanda dan Wilayah Lautan Hindi British yang menunggu acara berkenaan berlangsung kerana laluan berbasikal diaturkan dianggap antara mencabar di Malaysia.


SEBAHAGIAN peserta memanaskan badan sebelum memulakan kayuhan.

“Bagaimanapun, bagi acara kali ini peserta berpeluang menggunakan laluan baru yang diperkenalkan di Taman Sentral Elmina Barat sebelum kami membukanya untuk orang awam pada awal tahun ini. Malah, pemenang perlumbaan membawa pulang hadiah wang tunai dan pelbagai hadiah lain.

“Kami juga mengenal pasti kepentingan menganjurkan acara berbasikal seperti ini kepada orang awam khususnya komuniti berbasikal yang ditubuhkan penduduk Bandar Elmina untuk kesejahteraan minda.

“Selain itu, kami juga ingin menggalakkan gaya hidup sihat dan mengasaskan kehidupan komuniti yang bertenaga dengan menyatukan penduduk dalam satu ruang untuk mereka bermasyarakat serta hidup ceria. Ini kerana, pembeli hartanah sekarang tidak saja membuat pelaburan harta tempat tinggal, malah mereka juga menilai kualiti gaya hidup yang ditawarkan pemaju,” katanya.


ACARA basikal lasak tarik perhatian peserta luar negara.

Selain perlumbaan dan jambori, pihaknya memperkenalkan kayuhan santai dalam penganjuran kali ini khas untuk pasukan pengurusan Sime Darby Property yang disertai wakil majlis perbandaran dan media, diketuai Pengurus Besar Sime Darby Property, Appollo Leong serta atlet triatlon, Jessen Lee dan Sue Teoh.

Wan Hashimi berkata, Bandar Elmina seluas 2,023 hektar meliputi Denai Alam, Bukit Subang, Elmina Timur dan Elmina Barat di sepanjang Lebuhraya Koridor Guthrie adalah penempatan bandar tema pertama di Malaysia berkonsepkan kesejahteraan serta penempatan menyeronokkan dalam cara yang holistik merangkumi lapan elemen kesejahteraan iaitu sosial, alam sekitar, intelektual, keluarga, pekerjaan, jasmani, emosi dan kerohanian.

“Antara ciri Bandar Elmina adalah Taman Sentral Elmina seluas 121 hektar dan trek berbasikal dan joging sejauh 90km iaitu satu daripada trek terpanjang di negara ini. Ia juga dibangunkan mengikut spesifikasi dikeluarkan Kajian Kualiti Kehidupan Mercer iaitu piawaian yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, menerusi sukan basikal ini peserta juga berpeluang menikmati pemandangan bandar tema berkenaan yang dirancang supaya menjadi perbandaran holistik yang lengkap dengan kemudahan, keselamatan, akses ke pusat bandar, kegiatan ekonomi dan kejiranan yang baik,” katanya.


PESERTA merakam kenangan sebelum memulakan perlumbaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 7 January 2018 @ 4:25 AM