SATU keluarga berkongsi minat menanam.
Nurul Husna Mahmud
nurul_husna@hmetro.com.my

Sejak kecil sudah biasa bergelumang tanah membuatkan pengasas Taman Addarosa Puncak Alam di Selangor Siti Norsadariah Mohd Shapiai yang juga anak kedua daripada lima beradik mempunyai minat mendalam terhadap tanaman bunga mawar.

Dia yang juga penjawat awam menyifatkan hobi bertani mula berkembang hingga menjadi perniagaan turut dilakukan bersama ahli keluarganya.

“Minat bertanam diwarisi daripada bapa, Mohd Shapiai Baee, 62, yang memang suka bercucuk tanam.

“Bapa saya dulu petani jambu batu berjaya dan mempunyai ladang luas sehingga mampu membekalkan jambu ke sekitar Bidor, Perak.

“Sejak kecil saya dan adik-beradik melakukan kerja bertani hinggalah menjual buah jambu kerana bapa sendiri memiliki lima gerai buah 20 tahun lalu. Jadi kami membesar dengan didikan supaya berbudi kepada tanah.

“Meskipun ketika ini bapa tidak lagi mengusahakan ladang jambu batu, tetapi dia memanfaatkan ladang itu dengan menanam kelapa sawit. Jadi kami membesar dengan jerih hasil petani,” katanya.

Shapiai pula menyifatkan aktiviti bertani dapat merapatkan hubungan keluarga selain menjadi sumber pendapatan menyara anak-anaknya. Malah dia mahu cinta kepada dunia tani diteruskan kepada anak-anak, sebagai menghargai jasa bapa dan kalau boleh menjadi ‘legasi’ keluarga besarnya.

“Saya sentiasa memberi dorongan kepada anak-anak apatah lagi bertani boleh menyemai sikap murni termasuk rajin dan mengenal erti kesabaran kerana kita bekerja dengan benda hidup.

“Apabila anak-anak memilih untuk memasarkan produk pertanian, memang saya terus memberi galakan. Kini bukan saja anak kedua melakukan aktiviti bertani malah semua akan turun padang membantu dia menguruskan nurseri bunga mawarnya,” katanya.

Setiap bulan dua minggu sekali Shapiai akan ke lokasi nurseri bersama isteri Ninhayati Shaari. Anak lain iaitu Mohd Kamizi, 40, Mohd Hanapi, 30, dan Siti Norhidayu, 25, juga meluangkan masa turun padang membantu kerana bagi mereka itulah peluang terbaik bertemu bapa tercinta dan bersama-sama melakukan aktiviti yang disukai.

Ia juga menjadi sesi pertemuan yang bukan saja mengeratkan hubungan keluarga yang secara tidak langsung mencipta detik indah, bahkan dikelilingi bunga mawar berbau harum dapat menenangkan fikiran mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 January 2018 @ 3:12 AM