MULA tak suka kini sudah ada ‘keluarga’ baru di Malaysia.
Aniza Zainudin
anizazainudin@hmetro.com.my


Bergelar anak bongsu daripada dua beradik dan menerima perlindungan terbaik daripada keluarga, membuatkan gadis ini tidak betah untuk bersosial dengan orang baru ketika berada di tanah airnya.

Berpeluang melanjutkan pelajaran di Malaysia, Stefany Suryani berjaya mengurangkan masalah keresahan sosial dan mengubah personaliti kepada seorang yang mesra dan periang.

Gadis ini mengakui langkah utama dalam pergaulan ialah ambil inisiatif memulakan perbualan dan terbuka untuk mengenali ramai orang baru.

1. Kali pertama ke Malaysia dan tujuannya?

Seingat saya, kali pertama ke Malaysia sekitar tujuh tahun lalu.

Saya hanya berkunjung ke Pulau Pinang kerana menemani mendiang bapa mendapatkan rawatan di sebuah pusat perubatan di negeri itu.

Boleh dikatakan setiap dua bulan sepanjang tujuh tahun lalu, saya datang ke Pulau Pinang bagi tujuan berkenaan, namun saya tidak pernah ke Kuala Lumpur.

Sebelum ini saya merancang untuk melanjutkan pengajian di Eropah, namun atas faktor kesihatan bapa, ibu menasihatkan memilih rantau Asia Tenggara.

Jadi, lebih mudah untuk saya menziarahi keluarga. Pada 2016, saya datang ke Malaysia bagi tujuan itu.

2. Sejauh mana anda mengenali Malaysia?

Meskipun kita serumpun, Malaysia dan Indonesia sering ‘bergaduh’ berkenaan isu sama seperti asal usul makanan, kebudayaan mahupun pakaian.

Itu membuatkan saya tidak begitu menyukai Malaysia pada permulaannya.

Apabila saya berada di sini, persepsi itu berubah perlahan-lahan kerana di Malaysia, saya mendapat peluang untuk mengenali lebih ramai teman baru yang berbeza latar belakang sama ada tempatan mahupun luar negara.

3. Cabaran sepanjang berada di Malaysia?

Berasal daripada keluarga yang terlalu melindungi membuatkan saya ‘manja’ kerana semua disediakan ibu dan bapa.

Saya tidak pernah menggunakan pengangkutan awam dan tidak tahu bagaimana membeli tiket.

Sukar untuk saya menyesuaikan diri di sini namun pertemuan dengan komuniti seagama banyak membantu kehidupan baru saya di Malaysia. Mereka adalah keluarga saya di Malaysia.

Lama-kelamaan personaliti pemalu berubah kepada peramah, saya boleh menyesuaikan diri dengan pelbagai masyarakat dan terbuka berkawan dengan sesiapa.

Paling penting, kita harus memulakan perbualan diiringi senyuman.

4. Pengalaman menarik yang ingin dikongsikan?

Saya sangat menyukai makanan. Di sini, terdapat pelbagai jenis makanan yang boleh saya cuba setiap hari sama ada di restoran mahupun warung.

Setiap kali saya mencuba sajian terbaru, saya akan kongsikan di Instagram khas berkaitan makanan milik saya, @steffylovesfood.

5. Lokasi pilihan anda?

Sunway Pyramid, Petaling Jaya.

6. Sajian tempatan kegemaran anda?

Terlalu banyak! Antaranya char kuetiau, nasi ayam, nasi lemak dan kuih bakar Kemboja.

7. Malaysia di mata anda?

Saya seronok berada di sini di samping teman baru.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 12:38 PM