PENULIS bergambar di hadapan Masjid Raya Baiturrahman
Mohamad Hussin

Peluang menjejakkan kaki ke Serambi Makkah iaitu Banda Aceh amat menyentuh hati tatkala melihat kesan sejarah tsunami yang mengorbankan sehingga 250,000 nyawa, malah hingga hari ini ada antaranya masih tidak ditemui.

Perasaan berbaur sedih dan insaf sebaik tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sultan Iskandar Muda, Banda Aceh bersama keluarga dan kenalan.


PENULIS bersama keluarga bergambar kenangan di Pantai Ulee Lheue

Kami dijemput pak supir yang sedia menunggu di lapangan terbang yang terus membawa mengelilingi sekitar Banda Aceh. Percutian empat hari tiga malam itu rasanya tidak cukup kerana banyak tempat menarik dan peninggalan sejarah tsunami yang tidak sempat kami lawati.


ANTARA makanan tradisi masyarakat Aceh.

Apa yang membuatkan kami teruja apabila menjejak kaki ke tiga masjid yang tidak terjejas dengan tsunami kecuali kerosakan kecil iaitu Masjid Raya Baiturrahman, Masjid Baiturrahim dan Masjid Rahmatullah.

Rasa kagum melihat masjid tersergam indah itu turut dipenuhi dengan jemaah dari pelbagai pelosok kota mahupun luar Aceh berpusu-pusu mengambil kesempatan menunaikan solat di situ.


MASJID Rahmatullah yang terselamat daripada bencana.

Tidak cukup dengan itu, kami turut dibawa ke lokasi kapal PLTD Apung 1, kapal generator elektrik milik PLN di Banda Aceh yang dijadikan wisata. Kapal seberat 2.6 tan ini dihanyutkan semasa tsunami sejauh tiga kilometer ke daratan.


KAPAL PLTD Apung 1 yang dibawa arus tsunami.

Melihat kapal besar itu tersadai di tengah kampung membayangkan betapa besarnya ombak mahupun gelora tsunami ketika itu. Dalam kapal itu ada simulasi bagaimana kapal berkenaan tersadai dan akhirnya menjadi galeri untuk dilawati pengunjung hingga hari ini.


BAHAGIAN dalam kapal PLTD Agung 1.

Penulis turut berkesempatan menemui seorang mangsa tsunami iaitu Bundiyah Sahan atau lebih dikenali sebagai Wak Kolak, 68, yang menetap di Kampung Lampulo, Aceh.

Namanya memang istimewa, ada makna tersendiri. Perkataan ‘kolak’ bermaksud penjual bubur. Ketika kejadian itu, dia menjual bubur di sekitar kawasan kampung berkenaan. Riak wajahnya sedih tatkala penulis memintanya menceritakan kembali detik dilanda tsunami.


KUBAH Masjid Jami' Lamteungoh yang dihanyutkan sejauh dua kilometer.

Hati penulis mula berasa sebak apabila Wak Kolak mula menceritakan bencana alam yang menjadi sejarah perit yang melanda kira-kira 14 tahun lalu.

“Saya sebagai saksi yang melihat kejadian dahsyat itu sempat menyelamatkan diri dengan menaiki kapal yang tersangkut dibawa arus di sebuah rumah penduduk.

“Ketika kejadian tsunami pada jam 8.15 pagi, saya berlari apabila kedengaran beberapa penduduk menjerit selepas melihat ombak besar di Pantai Aceh.

“Kapal berkenaan dibawa arus tsunami sekitar 500 meter dan tersangkut di rumah milik Haji Misbah. Kapal ini sempat berpusing-pusing dibawa arus gelombang,” katanya dengan nada sebak.


KAPAL yang tersangkut di sebuah rumah penduduk di Kampung Lampulo.

Wak Kolak berkata, dia bersama kira-kira 58 penduduk terdiri daripada lelaki dan wanita serta kanak-kanak sempat berlari menyelamatkan diri di atas kapal.

Bagi mereka, ombak tsunami membawa derita cukup sengsara kerana bukan saja memusnahkan harta benda, tetapi gempa dengan kekuatan 9.3 magnitud turut mengorbankan nyawa.

Penulis juga berkesempatan melawat beberapa tempat sejarah antaranya Muzium Tsunami dan kawasan perkuburan mangsa tsunami.


REKA bentuk Muzium Tsunami.

Anda ada cerita perjalanan atau percutian yang hendak dikongsikan? Tunggu apa lagi, kirimkan cerita menarik anda kepada kami di [email protected]

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Disember 2018 @ 8:02 AM