MERAKAM foto dengan berlatarbelakangkan bukit-bukau.
Nurul Husna Mahmud

Pemandangan sekitar perjalanan getir sejauh 80 kilometer (km) dalam cabaran basikal gunung (MTB) Jeli Epic 2018 antara memori paling berharga buat 50 peserta termasuk dua wanita serta dua wakil dari United Kingdom.

Selain dapat memenuhi minat mereka terhadap aktiviti lasak berkenaan, peluang menyaksikan gua batu kapur, menikmati panorama indah seperti Gua Ketir dari ketinggian 300 meter selain awan yang melitupi sekitar bukit-bukau memberi kepuasan sepanjang kayuhan.


SEBAHAGIAN peserta ceria di laluan beralun.

Menurut Pengarah Program Jeli Epic, Nor Izham Ibrahim, acara lasak itu bermula dengan melalui jalan kampung sebelum menempuh laluan kawasan perladangan dan seterusnya denai di sekitarnya.

“Kayuhan bermula 8 pagi itu berakhir jam 6 petang menyaksikan semua peserta dapat mengharungi trek ‘off-road’ jauh kira-kira 80 km yang bukan saja jauh, malah ada laluan mendaki menunggu mereka.

“Antara yang perlu mereka lepasi ialah laluan mendaki bukit Air Degung dengan ketinggian kira-kira 300 meter dan cerun curam. Mereka juga lakukan tidak kurang 30 pendakian rendah dan tinggi sebelum sampai di garisan penamat,” katanya.


PESERTA merakam gambar sebelum memulakan cabaran.

Tambah Nor Izham, trek itu mendapat perhatian peserta asing yang mahukan kelainan dalam cabaran MTB. Kesukaran laluan Epic Jeli kali ini pada tahap empat selain mematuhi standard ‘endurance’ MTB antarabangsa menerusi trek yang menguji jasmani dan mental peserta.

“Antara kelebihan lain, peserta berpeluang menikmati pemandangan yang mendamaikan apabila menempuh laluan bukit-bukau dan lokasi menarik di sekitar Sungai Suwe, Sungai Pergau dan Sungai Renyok kerana masih memiliki air terjun yang jernih terpelihara daripada aktiviti pembalakan.

“Sepanjang kayuhan, keperluan peserta iaitu makanan dan minuman disediakan di pusat hentian tertentu (check point) dengan bantuan marsyal yang sedia menanti mereka.


PERALATAN disediakan bagi memastikan kelancaran perjalanan.

“Keperluan lain seperti bekalan tiub dan minyak rantai turut disediakan supaya mereka boleh teruskan perjalanan dengan lancar sehingga ke garisan penamat.

“Tiada kemalangan rumit dialami peserta dan hanya membabitkan kecuaian kecil ketika menuruni bukit menyebabkan ada kalangan mereka terjatuh serta mengalami kecederaan kaki atau tangan,” katanya.

Kata Nor Izham lagi, pihaknya merancang untuk menganjurkan acara terbabit pada skala lebih besar dengan pembabitan agensi kerajaan dan persatuan sukan.

“Kami dari komuniti berbasikal setempat semestinya mahu terus mempromosi gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat umum termasuklah mewujudkan persekitaran bebas asap rokok.

“Maka kami mengimpikan sokongan pihak berwajib terutama agensi kerajaan dan persatuan sukan tertentu dalam penganjuran acara ini pada skala lebih besar bagi masa akan datang,” katanya.


SEORANG peserta dari United Kingdom puas dapat mengharungi cabaran trek.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Disember 2018 @ 4:30 AM