SHAHARUDDIN menjadi contoh kepada anak dalam pembabitan aktif menerusi aktiviti kariah masjid di kawasan kediaman.
Nurul Husna Mahmud


KECINTAAN terhadap perjuangan Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah selain mahu berkongsi kebaikan dengan saudara lain antara sebab ibu kepada dua cahaya mata, Ruhul Izzati Shaharuddin, bergiat dalam Pertubuhan Belia Masjid Selangor (PBMS).

Mengakui ia didorong oleh pembabitan suami tercinta, Mohd Idwan Idris, 35, yang lebih awal bergiat aktif dalam beberapa kerja amal sehinggalah penubuhan persatuan itu sejak 2008 lagi.

“Saya terbabit dalam PBMS ketika mengikuti pengajian peringkat sarjana di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM). Bermula dengan unda­ngan mantan pensyarah, Dr Zarina yang turut mengajar suami ketika peringkat ijazah lagi, saya tergerak hati me­nyertainya. Kebetulan waktu itu mempunyai kelapangan dan tiada komitmen tinggi, saya mula berjinak-jinak dengan kerja sukarelawan.

“Aktiviti ketika itu kebanyakannya membantu pertubuhan mengendalikan beberapa program dengan penyertaan jawatankuasa masjid sekitar Selangor. Antaranya kem solat untuk kanak-kanak dan pelbagai program yang bersesuaian dengan kariah masjid berkenaan.

“Suami banyak memberi dorongan kepada saya agar turut sama mengikutnya dalam program memasyarakatkan masjid menerusi pelbagai aktiviti supaya dapat menarik semua golongan untuk mendekati institusi agama itu,” katanya.


PENDORONG terkuat Izzati iaitu suaminya, Idwan yang lebih awal aktif dalam pertubuhan serta kerja kebajikan. Kanan, Ruhan tidak kekok jadi sukarelawan andai pertubuhan memerlukan.

Meskipun kini sudah mempunyai anak dan sibuk dengan pengajian pering­kat doktor falsafah, kata Izzati, dia tidak pernah rasa terbeban.

“Ada juga kritikan mengatakan anak-anak akan rasa terabai apabila saya dan suami aktif dalam pertubuhan, namun kami mempunyai pendapat berbeza.

“Ketika anak masih kecil dan perlukan perhatian, saya berehat seketika dan suami lebih banyak terbabit dalam program pertubuhan terbabit.

“Apabila anak sudah besar sekitar dua hingga tiga tahun saya sering bawa mereka mengikuti program kem Smart Solat. Kesan­nya pada anak, mereka ini mudah menuruti dan belajar tanpa perlu dipaksa. Jadi tidak timbul isu anak terabai apabila ibu bapa aktif dalam kelab tertentu.

“Malah ayah saya, Shaharuddin Mohd Idris juga aktif dengan aktiviti kariah masjid tambah pula beliau memikul peranan sebagai jawatankuasa masjid di tempatnya iaitu Masjid Assyakirin Taman Tersusun Tasek Ipoh, Perak.

“Beliau banyak memberi sokongan agar saya meneruskan kerja kebajikan sedemikian apatah lagi dalam memperkasakan fungsi masjid dengan masyarakat setempat.

“Beliau juga sering meluahkan hasrat mahu kerjasama dengan pertubuhan belia seperti disertai saya serta suami agar dapat mendekatkan institusi agama itu dengan golongan muda,” katanya.

Selain Izzati, adiknya Mohd Ruhan Aslah turut aktif dalam PBMS berkenaan sejak 2012. Lebih manis pegawai teknologi maklumat itu mengatakan menerusi aktiviti sukarelawan itu dia mengenali pasangan hidupnya.

“Saya juga tertarik menyertai pertubuhan itu kerana tertarik dengan pendekatan dibawa iaitu mahu mendekatkan diri belia dengan institusi masjid.

“Tidak sangka hikmat dengan komitmen sebagai sukarelawan saya dapat bertemu dan berkenalan dengan isteri, Nurul Ain Mohamad Sharil, 28, menerusi program e-jawi yang dianjurkan oleh PBMS pada 2016.


ANTARA program yang dijalankan bersama penduduk.

“Isteri saya merakam suara bagi abjad huruf jawi dan contoh-contoh perkataan dalam tulisan jawi, manakala saya pula sebagai pereka grafik bagi abjad jawi berkenaan. Kami juga pernah bekerjasama dalam program rehlah rohani bagi penduduk PPR Setapak,” katanya.

Tip dalam memastikan pembabitannya dalam program NGO berkenaan disokong pelbagai pihak terutama isteri, kata Ruhan, perlu sentiasa berkomunikasi dengan keluarga mengenai pergerakannya dalam aktiviti mahupun persatuan.

“Satu amalan saya ialah memastikan jadual tersusun dan sentiasa berdisiplin. Selain itu, sentiasa interaksi dan berkongsi program NGO yang berjalan untuk menambahkan keyakinan keluarga terutamanya isteri,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 Jun 2019 @ 4:00 AM