PENGAMAL Falun Gong melakukan protes dengan melakonkan semula cara pengambilan organ daripada tahanan.
Agensi

CHINA dikesan melakukan pembedahan secara paksa terhadap tahanan politik sebelum mengambil organ mereka untuk dibekalkan ke pasaran gelap yang kini dianggarkan bernilai AS$1 bilion (RM4.14 bilion) setahun, dedah tribunal antarabangsa.

News.com.au melaporkan, beberapa kumpulan aktivis hak asasi manusia sebelum ini menyuarakan kebimbangan mereka bahawa kira-kira 1.5 juta orang yang ditahan di kem penjara mungkin menjadi sebahagian daripada kegiatan penjualan organ.

Tribunal dipengerusikan Sir Geoffrey Nice QC itu diberitahu terdapat ramai tahanan yang dibunuh untuk diambil organ mereka terdiri daripada tahanan politik dari pergerakan Falun Gong serta etnik Uyghur.

Katanya, kegiatan yang terus dinafikan oleh China itu dianggap penghapusan etnik dan pembunuhan serta seksaan yang berskala industri.

“Pengambilan organ secara paksa adalah kejahatan yang tidak dapat ditandingi dengan melakukan pembunuhan beramai-ramai dalam tempoh satu abad lalu,” katanya.


LOKASI kem penjara yang dikenal pasti di seluruh China.

Menurutnya, komuniti antarabangsa sebelum ini hanya menutup mata apabila banyak universiti dan organisasi perubatan didakwa bekerjasama secara aktif dengan China untuk melakukan latihan dan penyelidikan.

Tribunal China yang ditubuhkan di London itu dianggotai beberapa negara iaitu Amerika Syarikat (AS), United Kingdom (UK), Malaysia dan Iran serta beberapa pakar hak asasi manusia, pakar pemindahan organ serta hubungan antarabangsa.

Seramai 50 saksi dipanggil dan penilaian dilakukan terhadap bukti visual dan tulisan yang banyak ditemui dalam tempoh setahun lalu.

Ia turut mendedahkan pengambilan organ turut dilakukan dengan cara kuno apabila mereka melakukan pembedahan ketika tahanan berada dalam keadaan sedar dan kegiatan itu dipercayai bermula sejak 2001.

Mengikut pasaran gelap, hati manusia yang sihat boleh mencecah nilai tinggi iaitu dijual pada harga sekitar AS$160,000 (RM662,988).

Dianggarkan terdapat 60,000 pembedahan ‘menuai organ’ dilakukan setiap tahun dalam tempoh dua dekad dan sebahagian besarnya diambil daripada tahanan yang sudah dibunuh.

“Dalam tempoh selama beberapa tahun ditahan tanpa dibicarakan secara adil, keadaan hidup dan penyeksaan yang teruk serta menerima ancaman bunuh, tahanan yang terselamat menjadi bukti berdasarkan pemeriksaan fizikal mereka termasuk ujian darah, imbasan x-ray serta ultrabunyi.

“Laporan pakar menyatakan satu-satunya penjelasan terhadap tindakan itu adalah mereka ingin memastikan organ mangsa sihat dan boleh dikeluarkan,” kata laporan itu.

China sebelum ini sering menafikan pembabitan dalam kegiatan terbabit walaupun tribunal sedar pendirian mereka sentiasa berubah-ubah.

“Pada 2001, kenyataan rasmi pegawai kerajaan China mendakwa sumber utama organ manusia adalah daripada pendermaan secara sukarela oleh rakyat China.

“Bagaimanapun, empat tahun kemudian mereka mendakwa pula kebanyakan organ diambil daripada banduan yang dijatuhkan hukuman mati dan sudah memberi kebenaran untuk diambil organ,” kata laporan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Jun 2019 @ 9:56 AM