MAJLIS sambutan kedatangan penuntut UTHM di Himin Solar Ltd.
DISAJIKAN dengan makanan tradisional muslim Cina
PENUNTUT UTHM bergambar bersama imam di sana.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Seramai 10 penuntut Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dipilih menjalani latihan industri di Himin Solar Ltd serta International Micro Emission University (IMEU), bandar Dezhou di Wilayah Shandong, China baru-baru ini.

Latihan industri selama 10 minggu dengan kerjasama Himin Solar Ltd serta Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM bertujuan mendedahkan penuntut dengan persekitaran kerja sebagai jurutera awam di China sekali gus memberi peluang kepada mereka untuk mempraktikkan teori pembelajaran di dalam kelas ke senario sebenar kejuruteraan awam.

Program di bawah seliaan Prof Dr Zainal Abidin Akasah ini juga membantu meningkatkan hubungan politik antara China dan Malaysia.

Wakil penuntut Sarjana Muda Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar UTHM, Muhammad Syahiran Hamdan, 24, berkata menerusi program ini mereka juga belajar mempersiapkan diri menghadapi cabaran kerjaya serta menambah ilmu pengetahuan mengenai teknologi solar yang dibangunkan China untuk melaksanakan teknologi baru tenaga solar dalam industri Malaysia.

“Peluang ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mengkaji pembangunan lestari di Malaysia dengan menyumbang idea bagi mengurangkan penggunaan tenaga dengan tenaga solar.

“Oleh itu, kami belajar mencari jalan penyelesaiannya dengan menggunakan tenaga solar thermal dan photovoltaic dan jika ia berjaya akan kami laksanakan di negara kita,” katanya.

Menurutnya lagi, mereka juga berpeluang menyambut hari raya bersama penduduk Muslim China di wilayah Shandong dan belajar serba sedikit budaya di sana.

“Kami disambut dan dilayan seperti keluarga oleh penduduk Muslim China di sini. Budaya mereka sedikit berbeza dengan masyarakat di negara kita kerana sebaik saja selesai solat raya kami dijamu roti dan sup kambing yang dimakan beramai-ramai di masjid.

“Amat berbeza dengan suasana raya di negara kita yang menghidangkan ketupat, lemang atau rendang sebagai juadah. Malah di sini tiada tradisi kunjung-mengunjungi dan pemberian duit raya.

“Bagi memeriahkan sambutan di rantau orang, kami turut memasak makanan tradisional kita seperti rendang, kuah kacang dan nasi impit untuk diberi kepada mereka.

“Kami tetap merasai suasana hari raya dan tidak terlalu sedih berjauhan dengan ahli keluarga buat kali pertama.

“Kami berharap dapat mengubah negara kita ke arah teknologi hijau dan mesra alam menggunakan tenaga solar bagi menggantikan teknologi sedia ada,” katanya.

Menerusi program ini, UTHM berharap dapat melahirkan lebih ramai penuntut yang berdedikasi sekali gus meningkatkan ranking universiti di seluruh dunia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Julai 2017 @ 7:49 AM