13 PENUNTUT yang turut serta dalam Kembara Merdeka 2017.
MAJLIS perasmian Kembara Merdeka 2017 di JB Sentral.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Seramai 13 mahasiswa Kolej Tun Hussien Onn (KTHO) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Skudai menyertai program Kembara Merdeka 2017 menaiki kereta api ke Tumpat, Kelantan baru-baru ini demi menyemarakkan semangat cintakan negara dalam kalangan masyarakat menjelang Hari Kebangsaan negara.

Program itu dianjurkan Jawatankuasa KTHO UTM dengan kerjasama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bermula di JB Sentral pada 10 Ogos kira-kira 6 petang.

Pengarah Kembara Merdeka 2017 Muhammad Zainuddin Arriafdi berkata, perjalanan mengambil masa 18 jam sebelum rombongan yang turut disertai empat pensyarah pengiring tiba di stesen KTM Tumpat pada jam 1 tengah hari keesokan harinya.

“Kembara Merdeka pernah diadakan tahun lalu dengan berkonvoi menaiki motosikal tetapi kita tampilkan kelainan kali ini dengan memilih pengangkutan awam iaitu kereta api.

“Sepanjang perjalanan, kami melakukan beberapa aktiviti antaranya mengedarkan bendera dan soal selidik dengan penumpang lain bagi mengetahui tahap pengetahuan mereka mengenai Hari Kebangsaan,” katanya.

Muhammad Zainuddin berkata, aktiviti berikutnya diteruskan di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) dan Pantai Sri Tujuh, Tumpat.

Katanya, ia membabitkan penyertaan 200 pelajar MRSM Tumpat dan penduduk kawasan berhampiran.

“Beberapa aktiviti diadakan sepanjang tiga hari dua malam di Tumpat antaranya senaman aerobik, ceramah motivasi, ‘explorace’ dan gotong-royong membersihkan pantai.

“Semua aktiviti diadakan itu menyelitkan elemen Hari Kebangsaan bersesuaian dengan slogan program iaitu menyemarakkan semangat kemerdekaan.

“Terima kasih kepada semua yang turut serta dari awal hingga hari terakhir yang dimeriahkan dengan aktiviti persembahan malam kebudayaan sebagai acara penutup,” katanya.

Muhammad Zainuddin berkata, kejayaan program itu mendorongnya dan rakan untuk meneruskannya pada tahun depan.

Katanya, jika hasrat itu menjadi kenyataan, dia berharap menjelajah ke lebih banyak lokasi di Semenanjung Malaysia.

“Penting untuk kita sebagai generasi muda menganjurkan program sebegini sebagai usaha memeriahkan sambutan Hari Kebangsaan negara.

“Dengannya, kita secara tidak langsung dapat mengajak individu lain mengingati Hari Kebangsaan dan jasa pejuang kemerdekaan tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 5:34 AM