DEMI tugas, Lim Chia Wei berjauhan dari dunia luar selama lima minggu untuk kerja menggerudi di Harweel Oil Field, Oman.
BEKERJA di bawah cuaca panas terik dan terputus hubungan dnegan dunia luar sudah menjadi kebiasaan.
BEKERJA di pelantar minyak yang 99 peratus pekerjanya lelaki.
Fatin Farhana Japre
gen.y@hmetro.com.my


Terputus hubungan dengan dunia luar dan jarang bertemu keluarga antara cabaran perlu dihadapi jurutera petroleum muda, Lim Chia Wei.

Tanpa mengenakan pakaian seragam jurutera petroleum mungkin anda tidak menyangka gadis bertubuh langsing dan cantik ini berkecimpung dalam dunia petroleum serta gas yang memerlukan jiwa kental untuk menyelesaikan masalah di telaga minyak.

Berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Petroleum dari Universiti Teknologi PETRONAS (UTP), Lim, 25, berjaya merealisasikan impiannya untuk bekerja di pelantar minyak dan bernaung di bawah syarikat perkhidmatan minyak dan gas terbesar dunia, Schlumberger Oilfield Services Company.

“Sejak zaman persekolahan minat saya memang terarah kepada persekitaran kerja yang fleksibel dan lasak.

“Apatah lagi ayah sering mendedahkan saya dengan skop kerja dalam bidang petroleum dan gas, sekali gus menarik minat menjadi seorang jurutera petroleum.

“Sebaik tamat tingkatan lima, saya melanjutkan pengajian di UTP.

“Perjalanan saya bermula apabila diberi peluang berkhidmat selama lapan bulan di pelantar minyak milik Schlumberger di Kemaman, Terengganu.

“Saya bekerja di sektor gudang (warehouse) selama lapan bulan dan saat ini semangat semakin berkobar-kobar untuk menjejakkan kaki di pelantar minyak.

“Saya komited dan fokus terhadap setiap perkara yang diajar,” kata anak kedua daripada empat beradik ini.

Kata anak kelahiran Perlis ini, dia terpaksa bersaing dengan 1,000 graduan lain dalam proses melepasi ujian kelayakan untuk bekerja di Schlumberger Oilfield Services Company.

“Rezeki menyebelahi saya dan terpilih berkhidmat di Schlumberger, Kota Kinabalu, Sabah.

“Kini saya ditempatkan di bawah jabatan produksi (production department) dan menggalas tanggungjawab mencari penyelesaian bagi telaga di dasar laut yang tidak boleh mengeluarkan minyak.

“Kami ibarat doktor kerana pasukan saya akan masuk ke dasar laut mencari punca masalah itu. Setakat ini, sebanyak 70 telaga di bawah seliaan saya yang perlu diberi penjagaan rapi,” katanya.

Katanya, banyak cabang menarik untuk diteroka namun kebanyakan remaja khususnya perempuan tidak terdedah kepada kerjaya ini kerana bagi mereka ia hanya sesuai untuk lelaki.

“Tidak dinafikan kerjaya ini memang lasak dan memerlukan ketahanan fizikal serta emosi yang kuat. Ini kerana saya sering dihantar menjalani kursus ke banyak tempat di luar negara contohnya pada hujung tahun lalu dihantar ke Oman selama dua bulan setengah.

“Saya perlu belajar cara menggerudi gas di tengah padang pasir Sahara bersama lebih 60 kakitangan lelaki.

“Di Malaysia, persekitaran kerja antara lelaki dan perempuan sudah biasa tetapi di Oman saya menjadi tumpuan kerana hanya saya seorang berada di pelantar minyak.

“Ketika itu, saya langsung tidak berasa takut dikelilingi lelaki kerana sudah biasa berada dalam situasi begini.

“Bidang ini memang berisiko tinggi namun pengalaman yang saya kumpul tidak mungkin orang lain dapat merasainya,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cabaran sebenar daripada pengalamannya menerusi kerjaya ini, Lim berkata, orang hanya ingat dia bergaji besar tanpa memikirkan risiko dan pengorbanan yang terpaksa dilakukan untuk mencari sesuap nasi.

“Apabila saya berkongsi gambar menjalani kursus di luar negara, orang ramai mesti fikir bertuahnya saya menjejakkan kaki di banyak negara.

“Hakikatnya, saya bekerja keras untuk memberi prestasi kerja yang terbaik. Soal cabaran pula, memang banyak cabaran yang mesti ditempuhi contohnya saya kena menaiki bot atau helikopter ke pelantar minyak untuk memastikan kawasan itu mempunyai minyak.

“Malah saya bekerja seharian di bawah panas terik dan terpaksa membuang air di dalam laut.

“Memang gaji besar tetapi orang tidak rasa cabaran yang kami lalui,” katanya.

Katanya lagi, dia mahu meyakinkan wanita bahawa tidak mustahil bagi mereka untuk berkecimpung dalam bidang petroleum dan gas.

“Saya berjaya buktikan kerjaya ini juga boleh diceburi wanita meskipun berisiko tinggi.

“Oleh itu, saya bertekad untuk mencari lebih banyak pengalaman dan berharap dapat menjadi pengurus yang mengetuai projek di lapangan, sekali gus mengukuhkan kerjaya,” katanya yang akan ke Perancis pada November ini untuk mengikuti kursus kali kedua.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 September 2017 @ 2:04 PM