ANTARA koleksi milik Mohd Ridzuan.
Redzuan Muharam


Minat terhadap pakaian denim mendorong Mohd Ridzuan Kadir, 29, mengembara ke Thailand dan Kemboja untuk menambah koleksi di dalam simpanan.

Baginya, pengembaraan ke negara luar memberi kepuasan lebih-lebih lagi apabila dapat menemui pakaian vintaj dan ‘rare’ yang tidak lagi dijual di pasaran.

Bercerita lanjut, Mohd Ridzuan berkata, sejak bersekolah dia menggemari pakaian denim cuma mula serius mengumpul menjadikannya koleksi pada 2006.

“Jika diikutkan, banyak denim dalam simpanan saya khasnya yang berjenama Levi’s dan Lee sejak era 1930-an hingga 1990-an tetapi pakaian kanak-kanak paling istimewa kerana ia jarang ditemui di pasaran.

“Jadi, satu kepuasan apabila dapat memilikinya dan sebab itu saya sanggup mencari sehingga ke negara jiran walaupun perlu mengembara solo.

SANGGUP mengembara solo demi mencari denim.

“Malah, disebabkan minat, saya pernah membelanjakan RM3,000 untuk membeli sehelai denim,” katanya yang bekerja di pelantar minyak.

Mohd Ridzuan berkata, selain mengumpul, dia turut menjual sebahagian koleksi miliknya bagi memenuhi permintaan peminat denim.

Menariknya, dia mendapat keuntungan berganda hasil jualan koleksi berkenaan kerana ada yang sanggup membeli dengan harga ribuan ringgit.

“Antara pengalaman tidak dapat saya lupakan sepanjang menjadi pengumpul denim adalah dapat menjual pakaian bernilai RM15 pada harga RM2,500.

“Rasa macam tidak percaya tetapi itulah kelebihannya menjual barangan ini kerana memang ada peminat yang sanggup berhabis demi mendapatkan koleksi diimpikan,” katanya.

MOHD Ridzuan bersama koleksi kesayangannya.

Menurut Mohd Ridzuan, selain kepuasan peribadi, minat itu turut memberinya peluang menambah kenalan baru dalam kalangan komuniti peminat denim. Perkenalan dengan mereka membolehkannya bertukar pengetahuan terutama berkaitan denim.

“Selalunya, kami berhubung di laman sosial namun jika ada kesempatan, kami akan berhimpun di acara tertentu seperti yang terbaru di Bangi Vintage Festival 2017.

“Kehadiran ke acara itu lebih kepada memberi sokongan antara satu sama lain dan menghidupkan industri ‘bundle’ yang mempunyai ramai peminat,” katanya.

ANTARA koleksi milik Mohd Ridzuan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 November 2017 @ 2:36 AM