ABDUL Hafiz bersama kakitangan yang menjadi tulang belakangnya.
ABDUL Hafiz bersama kakitangan yang menjadi tulang belakangnya.
Redzuan Muharam


Keinginan membantu dan memberi kesedaran kepada masyarakat mendorong pemegang Diploma Fisioterapi Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC), Abdul Hafiz Faizal Abdul Rahman, 25 membuka pusat fisioterapi sendiri di Setia Tropika, Johor Bahru.

Abdul Hafiz berkata, modal digunakan untuk membuka pusat berkenaan adalah hasil wang simpanan peribadi yang dikumpul sejak bergelar mahasiswa.

Katanya, di sebalik kejayaan itu, pelbagai cabaran dilalui dan mengakui pernah berputus asa selepas mengalami kemalangan jalan raya tahun lalu tetapi bangkit dengan adanya sokongan keluarga dan rakan terdekat.

“Kalau diikutkan, saya seorang yang nakal ketika di bangku sekolah dan tidak serius dalam pelajaran namun segalanya berubah selepas mendapat keputusan kurang cemerlang ketika semester satu Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC) Nilai, Negeri Sembilan.

“Bermula dari situ, timbul kesedaran memperbaiki kekurangan diri dalam akademik selain belajar berdikari dengan menjual sosej dan telefon bimbit yang diperoleh daripada pembekal bagi mendapat duit poket.

“Ketika bulan puasa pula, saya ambil kesempatan menjual nasi bujang kepada rakan yang tinggal di asrama pada waktu sahur sebagai alternatif untuk mendapatkan duit belanja tanpa terlalu bergantung kepada keluarga,” katanya.

MAHU memberi inspirasi kepada remaja.
MAHU memberi inspirasi kepada remaja.

Anak bongsu daripada tiga beradik ini berkata, walaupun melalui fasa yang agak sukar ketika pengajian, dia bersyukur kerana diberi kepercayaan untuk melakukan rawatan fisioterapi sebelum menjalani latihan industri .

Katanya, meskipun tiada pengalaman, kesempatan itu dimanfaatkan sebagai platform untuk mencari pengalaman dalam bidang fisioterapi.

“Pengalaman pertama saya adalah membantu pesakit dari Ipoh yang ketika itu memerlukan khidmat rawatan fisioterapi di rumah.

“Agak gementar juga pada mulanya tetapi pengalaman itu banyak membantu saya mendapat peluang lebih baik, salah satunya tawaran bekerja sebagai ahli fisioterapi di Hospital Pakar KPJ Pasir Gudang,” katanya.

Di sebalik kepuasan menjalani rutin harian, Abdul Hafiz mengakui turut berdepan pengalaman pahit iaitu tidak mendapat bayaran seperti dipersetujui selepas selesai memberikan perkhidmatan.

Menurutnya, selepas kejadian itu, dia lebih berhati-hati dengan menyediakan dokumen bertulis sebagai bukti.

“Syukur kejadian sama tidak berulang cuma ada lagi pengalaman tidak dapat saya lupakan iaitu ketika mengedarkan risalah khidmat fisioterapi di sebuah pusat beli- belah.

“Bukan saja tidak dilayan tetapi mereka merenyukkan risalah diberi dan membuangnya di hadapan saya hingga rasa malu yang teramat ketika itu,” katanya yang turut berpengalaman memberi rawatan kepada pemain Johor Darul Ta’zim (Johor DT) dalam beberapa permainan terdahulu.

MEMBANTU pesakit menjalani rawatan di pusat fisioterapinya.
MEMBANTU pesakit menjalani rawatan di pusat fisioterapinya.

Ditanya mengenai hala tujunya, Abdul Hafiz berkata, dia berharap kewujudan pusat fisioterapi itu dapat membuka mata masyarakat terhadap kepentingan rawatan yang jarang diberi perhatian.

Abdul Hafiz berkata, dia turut berharap usahanya itu dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan selain memberi peluang pekerjaan kepada lepasan graduan.

“Salah satu hasrat saya tentunya mengembangkan lagi perniagaan ini dengan menambah cawangan pusat fisioterapi supaya lebih ramai individu mendapat manfaatnya.

“Namun, pada masa sama, saya turut mahu menjadi inspirasi kepada remaja lain bahawa mereka boleh berjaya jika memikirkan masa depan , tidak cepat berputus asa dan terlalu leka dengan keseronokan sementara,” katanya yang dibantu 54 kakitangan terdiri daripada jururawat dan jurufisioterapi sepenuh masa serta sambilan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 November 2017 @ 2:00 AM