Hazril Md Nor
gen.y@hmetro.com.my


Selepas dilancarkan sedekad lalu, Dead Rising terus berevolusi dengan setiap keluaran baru. Latar tempatnya ditukar, protagonisnya berubah, begitu juga dengan penambahan sistem ‘crafting’ serta kenderaan.

Walaupun banyak perubahan berlaku, konsep permainan itu tidak pernah bertukar. Ambil apa saja senjata untuk membunuh sekumpulan zombi dalam satu aksi yang ganas dan kadang-kadang kelakar.

Dead Rising 4 yang baru saja dikeluarkan di Playstation 4 mengekalkan tradisi itu tapi dalam ‘gameplay’ yang lebih memfokuskan unsur jenaka dan keseronokan menewaskan zombi.

Anda mengawal Frank West, seorang wartawan dan jurugambar yang pernah muncul dalam keluaran sebelum ini. Bertempat di Willamette, Colorado, anda mengawal Frank untuk berdepan dengan wabak virus Zombie yang misteri dan menarik perhatian Frank untuk menyiasatnya.

Bagi sebuah ‘game’ yang memfokuskan pembunuhan zombi beramai-ramai, plotnya tetap menjadi fokus. Hubungan Frank bersama protegenya, Vick Chu tampak realistik. Kejadian misteri itu membawa anda menemui petanda baru yang membuatkan plot lebih menarik dan aksi perlawanan wajar ditonton.

Perlawanan dinaik taraf sedikit berbanding keluaran lalu. Walaupun Frank menggunakan gabungan senjata jarak dekat, jauh dan boleh dibaling, anda akan menghabiskan masa menekan butang X untuk menghapuskan apa saja di depan mata.

Walaupun ia seronok tapi kepuasan daripada ‘gameplay’ ini tidak begitu memuaskan kerana tiada cabaran sukar.

Hakikatnya, Dead Rising 4 tidaklah begitu mencabar dalam apa jua keadaan dan tiada pilihan untuk memilih tahap cabaran lebih tinggi.

Anda akan terus hidup dengan bar nyawa yang banyak. Namun, zombi Evo lebih sukar dilenyapkan kerana mereka mempunyai ketangkasan luar biasa. Tapi di sebalik ribuan zombi dibunuh, hanya sedikit saja jumlah zombi Evo dapat dihapuskan.

Terdapat lebih 50 gabungan senjata boleh digunakan dalam permainan itu. Apabila anda memperoleh ‘blueprint’ dan bahan diperlukan, anda boleh mula mencipta senjata itu dengan segera tanpa perlu ke ‘workbench’ seperti dalam Dead Rising 2.

Contohnya, kapak dengan kuasa elektrik dan alat mainan Santa yang menembak asid. Senjata baru ini akan membuatkan anda ketawa kerana ia seronok digunakan. Selain itu, Exo ‘suit’ akan menukar Frank menjadi manusia luar biasa. Ia adalah salah satu cara untuk menjatuhkan zombi itu dengan kepuasan berbeza.

Selain itu, ada banyak aktiviti anda boleh lakukan di luar pertarungan. Tidak seperti keluaran sebelumnya, Dead Rising 4 tidak mempunyai ‘timer’, membolehkan anda meneroka dunia zombi itu tanpa perlu risau bandar itu akan diletupkan oleh askar Amerika Syarikat.

Konsep dunia terbuka ini menawarkan lebih banyak rahsia, senjata menarik dan bahan yang boleh dikumpul. Pencarian ‘blueprint’ membawa anda kepada sesi penerokaan dan penyelesaian teka-teki yang agak mengecewakan tapi berbaloi ganjarannya. Di samping itu, anda akan terjumpa individu lain yang boleh diselamatkan.

Sistem ‘co-op’ juga dikeluarkan daripada permainan dan ditukarkan kepada mod ‘multiplayer’. Sebagai ganti, anda bersama skuad akan ditempatkan dalam satu kawasan dan perlu mencari jalan untuk ke zon selamat. Ia seronok tapi sesi permainannya agak berulang.

Walaupun Dead Rising 4 mungkin kehilangan identitinya, tapi konsep dunia terbuka dan gabungan senjata baru membuatkan permainan video ini seronok dimainkan jika anda bukan seorang yang begitu serius dan hanya ingin bersuka ria bermain ‘game’.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Disember 2017 @ 11:53 AM