MENCUBA peralatan bomba.
PESERTA berpeluang menaiki jentera bomba dan bot penyelamat.
PESERTA dan pegawai bomba bergambar kenangan selepas tamat program.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Demi menyelami kehidupan anggota penyelamat , enam sukarelawan dari Kolej Kediaman Raja Dr Nazrin Shah (KK12) Universiti Malaya (UM) mengambil inisiatif membawa 15 kanak-kanak ke Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Hang Tuah, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Kanak-kanak berumur 10 hingga 13 tahun itu terdiri daripada peserta Projek Yusuff, sebuah program anjuran UM yang memberi tuisyen mingguan percuma bagi subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik kepada murid keciciran sekolah yang menetap di Projek Perumahan Rakyat (PPR ) Pantai Ria, Kuala Lumpur.

Pengarah program Nur Atikah Ahmad Ridzuan, berkata, selain sesi taklimat keselamatan, demonstrasi penggunaan pelbagai jenis kenderaan dan peralatan yang digunakan anggota bomba dalam tugasan harian mereka turut diadakan untuk tontonan peserta terbabit.

“Menerusi taklimat keselamatan diberi, peserta didedahkan dengan langkah yang perlu diambil sebelum, semasa dan selepas berlakunya kebakaran.

“Maklumat ini amat berguna kepada peserta memandangkan mereka menetap di flat PPR yang berkepadatan tinggi dan mempunyai risiko kebakaran berbeza dengan kediaman lain.

“Lebih menarik, peserta dibawa melawat ke sekitar kawasan balai, memasuki bahagian atas jentera, mengetahui fungsi panel elektronik di ruang pemandu serta menaiki bot laju yang digunakan dalam menyelamat operasi mangsa banjir di Pulau Pinang, baru-baru ini” katanya.

Sukarelawan, Afzan Fatiha Mohd Khairi, 20, yang juga penuntut tahun kedua Fakulti Kejuruteraan berkata, program itu memberi pengalaman berharga kepadanya kerana dapat mendekati kumpulan kanak-kanak dari komuniti setempat.

“Rasa berbaloi menyertai program ini kerana bukan saja dapat mendekati kanak-kanak berkenaan tetapi merealisasikan impian mereka untuk mengunjungi balai bomba.

“Diharap mereka mendapat manfaat daripada lawatan yang diadakan dan lebih menghargai tugas dan sumbangan mereka yang berkhidmat sebagai anggota bomba,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Amirul Aswan Ismail, 13, berkata, dia berterima kasih kepada penganjur kerana memberinya peluang untuk menjadi peserta bagi program berkenaan.

Katanya, selain pengalaman baru, penyertaan dalam program itu juga memberinya informasi dan gambaran sebenar mengenai tugas seorang anggota bomba.

“Sebelum ini, saya tidak pernah menaiki jentera bomba dan hanya dapat melihat dari jauh saja. Tetapi hari ini, saya dapat menaiki jentera dan bot penyelamat sekali gus merasai pengalaman menjadi anggota bomba walaupun dalam masa yang singkat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Disember 2017 @ 4:50 AM