MOHD Faiz bersama kumpulan OKU di dalam kampus.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.my


Selain kelab sukan, kebudayaan dan keagamaan, wujud juga komuniti yang aktif membela nasib orang kurang upaya (OKU) di kampus.

Antaranya, Kelab Abdullah Ibn Maktum (I-MaC) yang ditubuhkan pada 2012 demi memperjuangkan hak penuntut OKU di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) .

Pengasasnya, Mohd Faiz Shuhaimi, 28, berkata, sepanjang tempoh lima tahun, pelbagai aktiviti diadakan dengan matlamat meningkatkan tahap keyakinan penuntut OKU, mendengar permasalahan mereka dan membangkitkan isu berkaitan supaya hak mereka terbela.

Katanya, apa yang menarik jawatankuasa tertinggi komuniti sendiri terdiri daripada kalangan penuntut OKU.

“Inisiatif membantu penuntut OKU di kampus UIAM sebenarnya bermula sejak dua tahun sebelum penubuhan I-MaC lagi menerusi aktiviti berskala kecil, salah satunya bengkel kesedaran .

“Namun, memikirkan kepentingan untuk membela nasib golongan berkenaan, kami tubuhkan kelab dengan tujuan dapat menghimpunkan penuntut OKU sekali gus membabitkan mereka dalam aktiviti yang dianjurkan.

“Peranan lain kelab adalah menyampaikan isu berkaitan kebajikan dan permasalahan OKU untuk makluman pihak kampus supaya ada tindakan susulan yang diambil,” katanya yang mempunyai masalah pendengaran.

Menurut Faiz, meskipun masih banyak lagi yang perlu dilakukan untuk membantu golongan senasib dengannya, dia bersyukur melihat ada perubahan positif hasil usaha ahli dan sukarelawan kelab selama ini.

Katanya, perubahan itu bukti nasib penuntut OKU di UIAM tidak dipandang sepi sebaliknya mendapat perhatian dan pembelaan sewajarnya.

“Dengan kerjasama universiti, I-MaC dapat menyelesaikan beberapa masalah dan menambah baik kemudahan untuk penuntut OKU di dalam kampus.

“Antara perubahan paling ketara dapat dilihat adalah dari segi fasiliti apabila laluan berkerusi roda termasuk dari kolej kediaman ke kantin sudah tersedia.

“Itu belum termasuk usaha I-MaC dalam menubuhkan Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) OKU selain mewujudkan anugerah kecemerlangan akademik dan kepemimpinan pada majlis konvokesyen,” katanya.

Sementara itu, presidennya, Muhammad Abdul Rahman Ismail berkata, setakat ini, I-MaC dianggotai kira-kira 60 ahli terdiri daripada semua penuntut OKU UIAM.

Katanya, selain ahli, kelab turut dibantu sukarelawan dan menariknya mereka adalah penuntut bukan OKU.

“Semua penuntut OKU di UIAM layak menjadi ahli secara automatik sekali gus mendapat kelebihan yang ada.

“Lagipun, kelab ini memang ditubuhkan untuk kumpulan ini dan pada tahun depan, pelbagai aktiviti dirancang antaranya kursus yang akan memberi pendedahan kepada mereka antaranya mengenai cara berpakaian formal dan tip menghadapi temu duga.

“Sebagai presiden, saya berharap perancangan itu berjalan seperti yang dirancang supaya visi dan misi kami untuk membantu OKU tercapai,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Disember 2017 @ 6:02 AM