HASIL arca kanvas dan akrilik dihasilkan Azizi menampilkan keunikan tersendiri.
Nor Hanisah Kamaruzaman
gen.y@hmetro.com.my

Unik dan kritis. Itu yang dapat menggambarkan koleksi kerja seni halus yang ditampilkan dalam pameran ‘Immaterial: A Compilation of The Unconventional’.

Karya hasil sentuhan barisan artis muda tempatan ini ternyata menampilkan kelainan dan membawa penonton ke satu perspektif baru.

Berlangsung di Galeri G13, pameran yang memfokuskan pada karya bukan konvensional ini dihasilkan menggunakan medium di luar kebiasaan, membuatkan proses penghasilan karya bagi setiap artis itu lebih menarik.

Menurut Kurator Galeri G13 Heikal Taki, penggunaan medium bukan konvensional dalam penghasilan karya bukan saja mengubah rupa bentuk hasil seni semata-mata tapi pada masa sama membangunkan semula kerja seni dan disiplin dalam proses artistik.

“Artis yang menyelitkan sisa bahan dalam kerja tangan mereka lebih cenderung menghidupkan semula fungsi sisa atau lebihan bahan itu.

“Mungkin tidak ramai sedar artis sebegini adalah orang yang menghargai sesuatu barangan dan memanjang hayatnya dengan memberi nafas baru,” katanya.

Sebanyak 16 karya pelbagai genre ditampilkan menerusi hasil kerja tangan Agnes Lau, Anisa Abdullah, Azizi Latif, Bakir Baharom, Fazrin Abd Rahman, Jamil Zakaria, Nor Tijan Firdaus dan Yim Yen Sum.

Walaupun setiap artis harmoni dengan satu tema iaitu bukan konvensional, setiap seorang menampilkan identiti dan keunikan tersendiri.

Heikal menerangkan karya Agnes dalam pameran kali ini ternyata berbeza kerana walaupun artis itu sinonim dengan medium tanah liat dan arca seramik, kerja tangannya kini memberi penekanan pada minimalisme.

“Agnes mengetengahkan gaya minimalisme dan kualiti garisan dalam menterjemahkan buah fikirnya terhadap kehidupan.

“Anisa pula mengambil cebisan bahan bacaan untuk menghasilkan pelbagai imej seperti potret dan landskap urban. Gabungan idea menggambarkan orang atau item dengan melankolik sentuhan kolaj kanvas menghidupkan karya itu sendiri,” katanya.

Bagi yang ingin melihat teknik berbeza, Bakir mencipta visual dengan membakar barangan yang mudah terbakar.

“Tanpa berus atau pensel, Bakir perlu mengawal pembakarannya agar dapat menghasilkan visual diingini. Jadi, artis perlu terperinci dengan mengawal proses pembakaran.

“Selain itu, penonton pasti teruja melihat hasil karya Nor Tijan yang gemarkan menggunakan bahan kitar semula seperti mainan dan ‚e-sisa‘. Menariknya, material dipilih sesuai mengikut cerita atau mesej yang ingin diterjemahkan dalam karya seninya,” katanya.

Pameran yang berlangsung dari 10 Mac hingga 24 Mac depan terbuka kepada orang ramai. Kunjungi Galeri G13 di tingkat bawah, Block B, Kelana Square, Jalan SS7/26, 47301 Kelana Jaya, Selangor atau layari www.facebook.com/G13gallery untuk maklumat lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Mac 2018 @ 8:15 AM