ABU Zaki Hadri
ARTIS yang terbabit dalam Pameran Imago Mundi di Jakarta, Indonesia.
Redzuan Muharam
gen.y@hmetro.com.my


Selepas menemui pencinta seni di Singapura dan Kuala Lumpur, pameran Imago Mundi diteruskan pula di Fairmont Hotel Jakarta, Indonesia bermula 28 Mac lalu sebelum melabuhkan tirainya pada 18 April ini.

Sebanyak 154 karya dipersembahkan sepanjang pameran berkenaan dan ia hasil kreativiti 76 artis daripada tiga negara.

Kurator Imago Mundi Malaysia Abu Zaki Hadri berkata, pihaknya sangat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan wakil dari Singapura dan Indonesia menganjurkan program berkenaan.

Katanya, menerusi program itu, pihaknya bukan saja dapat mengetengahkan karya artis terutama bakat baru tetapi juga platform untuk mereka menjalin hubungan dengan penggiat seni dari luar negara.

“Selama ini, artis muda terutama siswazah jurusan seni halus mungkin lebih bergantung kepada galeri untuk memperkenalkan karya mereka namun kami cuba anjurkan pameran sebegini sebagai salah satu inisiatif untuk memperkenalkan karya tempatan ke peringkat lebih tinggi.

“Menerusinya, mereka tidak hanya dapat mempamerkan hasil kreativiti tapi berkenalan dengan artis dan pencinta seni daripada negara lain.

“Dari situ, rangkaian hubungan mereka lebih luas dan tidak lagi terhad pada peringkat tempatan semata-mata,” katanya.

Seorang wakil Malaysia, Ti Yi Rou, 23, berkata, Imago Mundi adalah pameran keenam yang disertainya sejak aktif sebagai artis sambilan empat bulan lalu.

Ti berkata, penyertaannya dalam pameran berkenaan ternyata tidak sia-sia kerana dapat bertemu dengan penggiat seni dari pelbagai latar belakang.

“Satu pengalaman yang sangat berharga apabila dapat turut serta dalam pameran berkenaan selain masyarakat di sana sangat menghargai seni.

“Malah, karya dihasilkan mereka juga mengambil inspirasi daripada sejarah di negara mereka dan itu yang perlu kita contohi.

“Sebagai artis baru, saya teruja dengan pengalaman ini dan berterima kasih kepada penggiat seni di sana yang tidak lokek berkongsi ilmu. Diharap ada lagi kesempatan untuk turut serta dalam pameran lain pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 10:22 AM