WANG hasil curi yang diletakkan di dalam tembikar sebelum ditanam di sebuah gua di Dongguan, China. - Agensi

Dongguan (China): Sebagai persediaan untuk majlis perkahwinan anak lelakinya, seorang lelaki menyimpan wang tunai berjumlah 400,000 yuan (RM251,000) dalam satu tembikar sebelum menanamnya di sebuah gua di sini.

Namun, malangnya bagi anak lelaki itu apabila bapanya sebenarnya seorang pencuri.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Wang, 41, mencuri wang berkenaan dari sebuah peti besi di kilang tempatnya bekerja di sini.

Wang yang ditangkap polis dua minggu lalu mengaku dia pergi ke kilang berkenaan pada waktu malam untuk mencuri.

Dia memecah masuk ke pejabat dan cuba memecahkan peti besi yang ditemuinya.

Kerana gagal memecah peti besi itu, Wang menghubungi rakannya dikenali sebagai Pan, 52, untuk meminta bantuan.

Mereka berjaya memecahkan peti besi itu selepas menjatuhkannya dari tingkat dua kilang dan berkongsi wang tunai di dalamnya.

Mereka masing-masing mengambil wang tunai 400,000 yuan untuk dibawa pulang ke kampung dan bakinya disimpan di rumah sewa mereka di sini.

Bagaimanapun, kedua-dua lelaki itu ditahan polis selepas rakaman kamera keselamatan di kilang berkenaan mendedahkan identiti mereka.

Selepas disoal siasat Wang membawa polis ke sebuah gua dan menggali satu lokasi di mana dia menanam wang hasil curi itu dalam sebuah tembikar.

Wang memberitahu polis, dia mahu menyimpan wang berkenaan dan sebagai persediaan untuk majlis perkahwinan anak lelakinya kelak. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Jun 2017 @ 3:29 AM