ANGGOTA pasukan penyelamat mencari mangsa yang mungkin tertimbus selepas kejadian tanah runtuh di daerah Rangamati. - Agensi
AFP

Dhaka: Sekurang-kurangnya 57 orang terbunuh di tenggara Bangladesh semalam, kebanyakannya tertimbus di bawah tanah runtuh.

Polis memberi amaran, jumlah kematian dijangka meningkat selepas pekerja bantuan tiba di kawasan pedalaman di wilayah yang terjejas, tempat hubungan telefon dan pengangkutan terputus.

“Kerja mencari dan menyelamat masih diteruskan. Jumlah kematian mungkin meningkat kerana banyak lagi kawasan yang belum berjaya dijejaki.

“Kita akan dapat gambaran sepenuhnya apabila hujan berhenti,” kata ketua Jabatan Pengurusan Bencana, Reaz Ahmed.

Kebanyakan mangsa ialah penduduk etnik yang tinggal di Rangamati, daerah yang berbukit-bukau berhampiran sempadan India.

Kira-kira 35 penduduk kawasan itu mati apabila rumah mereka ditimbus tanah runtuh.

“Sebahagian mereka sedang tidur apabila kejadian berlaku.

“Kami memindahkan penduduk yang terjejas ke sekolah dan tempat selamat lain,” kata ketua polis daerah, Sayed Tariqul Hasan.

Enam lagi mati di daerah Bandarban yang bersebelahan dengan Rangamati.

Mereka termasuk tiga kanak-kanak dari satu keluarga.

Sebanyak 16 lagi mangsa ialah penduduk daerah Chittagong, tempat sekurang-kurangnya 126 orang terbunuh apabila tanah runtuh menimbus sebuah kamping kira-kira 10 tahun lalu.

Bencana itu berlaku beberapa minggu selepas puting-beliung Mora membadai tenggara Bangladesh, menyebabkan sekurang-kurangnya lapan orang mati dan merosakkan puluhan ribu kediaman.

Hujan lebat di selatan Bangladesh sering menyebabkan tanah runtuh.

Sementara itu, antara yang mati dalam kejadian di daerah Rangamati ialah empat askar yang dikerah untuk membersihkan jalan raya selepas kejadian tanah runtuh sebelum itu.

Di Dhaka, tempat kesesakan jalan raya begitu teruk akibat hujan lebat, sebuah feri karam di Sungai Buriganga petang kelmarin, bersama-sama 100 penumpang.

Menurut laporan, 10 orang hilang berikutan kejadian itu.

Bagaimanapun, polis berkata, semua penumpang berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Jun 2017 @ 8:07 AM