Bangkok: Ia mungkin kelihatan menjijikkan, tetapi seorang pembuat kuih tidak menang tangan sejak dia mencipta sejenis manisan yang berbentuk dan berwarna seperti najis anjing.

“Ia sangat pelik kerana tiada orang yang membuat kuih berbentuk najis anjing tetapi ramai yang menyukainya,” kata Wilaiwan Mee-Nguen dari dapur kecil di rumahnya di sini.

Di dapur itu dia menyediakan manisan yang diperbuat daripada santan kelapa, gelatin dan pewarna makanan.

Pekerja pejabat berusia 30 tahun itu, membuat manisan untuk dijual pada setiap hujung minggu.

Beberapa bulan lalu, seorang pelanggan meminta manisan dengan bentuk pelik dan Wilaiwan memutuskan untuk membuat sesuatu yang lebih luar biasa.

“Kebanyakan pelanggan mahu bentuk bunga tetapi bentuk ini dianggap lucu oleh orang Thai,” katanya.

Kini manisan berbentuk najis anjing itu menjadi sajian paling popular Wilaiwan dan dia menjual sekitar seribu bekas sebulan.

Sejak manisan itu menjadi tular di media sosial, Wilaiwan juga diwawancara beberapa stesen televisyen di Thailand.

Namun, Wilaiwan mengakui tidak semua orang yang menyukai manisannya itu.

“Apabila saya memuat naik gambar manisan ini di Facebook ada yang menyukainya dan ada yang tidak,” jelasnya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Jun 2017 @ 7:35 AM