Agensi

SATU pasangan yang menyerang pemilik restoran dan menumbuk anak perempuannya berusia 15 tahun di Baxley, Georgia, menyerah diri kepada polis hari ini, selepas dua minggu menyembunyikan diri daripada buruan.

Pasangan itu, Nathaniel and Latasha Smith, berang kerana mendakwa ayam yang dibeli di restoran pandu lalu Qwik Chick di Baxley, sejuk serta tidak cukup kentang goreng pada 22 Jun lalu.

Menurut Daily Mail, mereka menyerah diri kepada polis dan didakwa melakukan serangan serta kekejaman terhadap kanak-kanak selepas rakaman CCTV kejadian disiarkan polis bagi mengesan pasangan itu.

Rakaman CCTV menunjukkan Latasha menyerang pemilik restoran itu, Jeanette Norris, dan Nathaniel menumbuk muka anak perempuan mangsa.


Nathaniel dan Latasha Smith.

Menurut Norris, dia mengembalikan wang pasangan itu selepas Latasha mengadu mengenai keadaan makanan namun wanita itu masih tidak puas hati, mengetuk tingkap restorannya.

Norris kemudian keluar untuk memberitahu dia sudah menghubungi polis namun menyerang dan menamparnya.

Nathaniel kemudian menumbuk anak perempuan mangsa yang keluar dari kereta untuk membantu menyebabkan dia jatuh terduduk di atas kerusi.

Norris patah tulang hidung selain lebam mata manakala anaknya yang juga lebam mengalami konkusi.

Ketua Jabatan Polis Baxley, James Godfrey, berkata dia tidak pernah melihat kejadian seperti itu sepanjang bekerja selama 41 tahun.

“Ia kejam dan ganas,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 Julai 2017 @ 5:45 PM