Pintu rumah dikunci dari luar dan polis menemui kesan minyak petrol di tempat kejadian. - Foto SCMP
Agensi

POLIS menahan seorang individu dan sedang memburu suspek lain berhubung kejadian serangan khianat membakar sebuah rumah asrama pekerja restoran yang menyebabkan 22 terbunuh di Changshu, wilayah Jiangsu, semalam.

South China Morning Post yang memetik Beijing News, melaporkan kebakaran rumah teres dua tingkat di Hushan itu berlaku kira-kira 4.30 pagi. Rumah berkenaan disewa sebuah restoran berdekatan sebagai asrama pekerjanya.

Menurut polis, pintu rumah itu dikunci dari luar menyebabkan penghuninya terperangkap dan mereka menemui kesan minyak petrol di tempat kejadian.

Hanya tiga orang berjaya menyelamatkan diri dengan kecederaan ringan.

Semua mayat mangsa ditemui dalam rumah itu oleh anggota bomba selepas api dipadamkan.

Menurut polis, mereka sudah mengenal pasti suspek berdasarkan rakaman CCTV dan menyoal semua pekerja restoran bagi mencari punca kejadian.

Menurut pekerja, lebih 20 orang dari seluruh China, termasuk wanita, berusia pertengahan 20-an tinggal dalam rumah itu, bekerja sebagai pelayan dan tukang masak.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 Julai 2017 @ 7:27 PM