BERATUS-ratus aktivis berhimpun di Jakarta kelmarin bagi membantah undang-undang baru yang membolehkan kerajaan mengharamkan   kumpulan yang dianggap bertentangan dengan Pancasila. - EPA
BERATUS-ratus aktivis berhimpun di Jakarta kelmarin bagi membantah undang-undang baru yang membolehkan kerajaan mengharamkan kumpulan yang dianggap bertentangan dengan Pancasila. - EPA
AFP

Jakarta: Kerajaan Indonesia semalam mengharamkan pertubuhan Hizbut-Tahrir Indonesia (HTI) walaupun tindakan berkenaan dianggap tidak demokratik oleh kumpulan hak asasi manusia.

Kementerian keadilan berkata, lesen pendaftaran HTI ditarik balik kerana pertubuhan itu menjalankan aktiviti yang bertentangan dengan rukun negara atau Pancasila.

HTI yang memperjuangkan undang-undang Islam dan menyatukan umat Islam di bawah pemerintahan Khalifah sudah wujud di Indonesia sejak puluhan tahun dan mempunyai puluhan ribu pengikut.

“Apabila pendaftaran HTI dibatalkan pertubuhan ini diharamkan,” kata kementerian itu dalam satu kenyataan.

Jurucakap HTI, Ismail Yusanto memberitahu, pihaknya akan mencabar keputusan itu.

“Ini satu bentuk penganiayaan sebenar oleh kerajaan terhadap rakyatnya sendiri,” tegasnya.

HTI adalah kumpulan pertama diharamkan selepas Presiden Joko Widodo (Jokowi) minggu lalu meluluskan undang-undang yang memberi kuasa kepada kerajaan untuk mengharamkan kumpulan yang dianggap bertentangan dengan Pancasila.

Pancasila adalah lima perkara yang menjadi asas kepada negara Indonesia.

Sementara itu, Jokowi enggan memberitahu kumpulan selanjutnya yang bakal diharamkan selepas pendaftaran HTI dibatalkan.

Katanya, sehingga kini kerajaan hanya memutuskan pergerakan HTI yang layak diharamkan menurut undang-undang baru berkenaan.

“Kita bincang satu-satu. Hingga saat ini hanya HTI yang diputuskan layak untuk diharamkan,” katanya semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 Julai 2017 @ 4:41 AM