SEORANG penungang GO-JEK membawa penumpang di sebatang jalan raya yang sibuk di Jakarta, Indonesia. - Reuters
Reuters

Jakarta: Mahkamah Agung Indonesia memutuskan kadar tambang terhadap perkhidmatan aplikasi teksi yang dikuatkuasakan kerajaan pada bulan lalu adalah tidak sah kerana ia menghalang persaingan.

Kementerian Pengangkutan Indonesia menguatkuasakan kadar minimum dan maksimum untuk perkhidmatan aplikasi teksi seperti Uber, Grab dan GO-JEK bermula 1 Julai lalu.

Kata kementerian itu, kadar itu bagi memastikan ia sama dengan tambang perkhidmatan pengangkutan konvensional lain.

Syarikat teksi di Indonesia juga mahu perkhidmatan aplikasi teksi itu diharamkan.

Bagaimanapun, Mahkamah Agung dalam satu kenyataan di laman sesawang rasmi mengarahkan kadar bayaran itu ditarik balik.

Sebelum ini, beberapa individu memfailkan petisyen bagi meminta mahkamah membatalkan arahan kementerian itu.

“Kadar tinggi dan rendah yang ditetapkan tidak menyediakan persaingan perniagaan yang sihat, malah ia membebankan pengguna dengan kenaikan harga tambang,” kata mahkamah.

Arahan itu juga membatalkan beberapa syarat yang baru-baru ini diumumkan termasuk kadar serantau, keperluan mendaftar syarikat dan kawasan di mana perkhidmatan itu boleh beroperasi.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Ogos 2017 @ 8:09 AM