MANASI menunjukkan gumpalan putih seperti kapas yang keluar dari matanya hampir setiap hari sejak beberapa minggu lalu. - Agensi
Agensi

Bhopal, India: Seorang budak perempuan dipulau oleh penduduk kampung selepas matanya mengeluarkan gumpalan putih seperti kapas hampir setiap hari.

Manasi, 11, yang berasal dari sebuah kampung di negeri Madhya Pradesh mengeluarkan 35 hingga 40 gumpalan putih itu sejak 25 Ogos lalu.

Keluarganya dan penduduk kampung yakin budak itu dirasuk hantu dan berjumpa bomoh untuk mendapatkan rawatan tetapi tidak berhasil.

Kini seluruh penduduk kampung memulaukan Manasi, malah keluarganya tidak membenarkan budak itu keluar rumah kerana bimbang menimbulkan kemarahan orang ramai.

Bapa Manasi, Gendlal Kevat berkata, gumpalan putih itu semakin banyak keluar sejak dua minggu lalu.

“Seorang doktor datang ke rumah untuk memeriksa Manasi dan gumpalan putih itu selepas cerita mengenai anak saya tersebar di seluruh kampung.

“Bagaimanapun, dia tidak dapat memberi penjelasan dan hanya mencadangkan untuk membawa Manasi berjumpa pakar mata,” katanya.

Sebuah akhbar tempatan, Nayi Duniya yang melaporkan kes Manasi menghubungi pakar mata untuk mendapatkan pendapat mereka.

Dr Navneet Saxena, dekan dan pakar oftalmologi dari Kolej Perubatan di Jabalpur memberitahu, keadaan itu mungkin berpunca daripada tindak balas alahan yang kadangkala mengeluarkan cecair atau benang halus dari mata.

Dr Pawan Setak pula berkata, keadaan luar biasa itu kemungkinan akibat kekurangan Vitamin D.

Menurutnya, kanak-kanak yang kekurangan zat makanan kadangkala mengeluarkan objek putih dari hujung mata yang menyerupai kapas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 9:59 AM