HALIMAH (kanan) bersama suaminya, Mohammed Abdullah Alhabshee selepas diisytihar sebagai presiden Singapura yang baru semalam. - AFP

Singapura: Bekas Speaker Parlimen Singapura, Halimah Yacob dinamakan sebagai presiden wanita pertama negara itu semalam selepas dia menang tanpa bertanding.

Singapura sebelum ini menggubal undang-undang supaya jawatan yang dipegang selama enam tahun itu dikhaskan untuk calon Melayu pada tahun ini.

Pegawai pilihan raya mengumumkan Halimah, 63, dipilih ke jawatan itu selepas pencalonan ditutup semalam.

Daripada empat calon lain, dua didapati bukannya keturunan Melayu, manakala dua lagi tidak layak untuk bertanding.

Halimah secara rasmi layak bertanding dalam pilihan raya itu kerana dia memegang jawatan kanan kerajaan melebihi tiga tahun.

Sekiranya pilihan raya presiden diadakan, semua rakyat Singapura layak untuk mengundi.

Bagaimanapun, pemilihan Halimah dikritik beberapa pihak yang tidak berpuas hati kerana tiada pilihan raya selain syarat kelayakan calon yang terlalu ketat.

Syarat itu termasuk calon dari sektor swasta perlu mengetuai sebuah syarikat dengan modal berbayar sekurang-kurangnya S$500 juta (RM1.55 bilion). - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 September 2017 @ 10:06 AM