Nabih al-Wahsh, peguam Mesir ketika perbahasan di televisyen menyatakan menjadi tugas kepada negara merogol wanita yang memakai jeans koyak. - Foto Metro.co.uk
Agensi

SEORANG peguam Mesir dipenjara tiga tahun kerana membuat kenyataan menjadi ‘tugas kepada negara’ merogol wanita yang memakai jeans koyak.

Menurut laporan Daily Telegraph, peguam itu, Nabih al-Wahsh, juga didenda 20,000 pound Mesir (RM4,572).

Peguam itu mencetuskan kontroversi selepas membuat kenyataan ketika satu rancangan perdebatan televisyen Al-Assema, Oktober lalu, membahaskan rang undang-undang pelacuran.

“Adakah anda gembira melihat perempuan berjalan di jalanan dengan separuh bahagian belakangnya terdedah?

“Bagi saya, jika perempuan berpakaian begitu, menjadi tugas patriotik untuk melakukan serangan seksual terhadapnya dan menjadi tugas kepada negara untuk merogol,” katanya.

Menurutnya wanita yang berpakaian mendedahkan ‘mempelawa lelaki untuk mencabul mereka’ dan ‘melindungi moral lebih penting daripada melindungi sempadan’.

Kenyataannya itu menarik kecaman serta-merta dengan Majlis Kebangsaan untuk Hak Asasi Wanita menganggap ia sebagai ‘arahan’ untuk merogol yang mencabul perlembagaan Mesir.

Majlis itu memfailkan aduan terhadap stesen televisyen berkenaan kepada Jawatankuasa Pusat Peraturan Media dan kerajaan kemudian mendakwa Nabih yang membawa kepada hukuman penjara dan denda itu.

Menurut BBC, ia bukan kali pertama Nabih mencetuskan kontroversi, termasuk mengisytiharkan Holocaust (pembunuhan beramai-ramai Yahudi oleh Nazi) adalah ‘khayalan’.

Dia juga menjadi perhatian tahun lalu, selepas bergaduh dalam studio televisyen dengan seorang ulama menyebabkan kerusi dan kasut dilempar dalam studio selepas ulama berkenaan berkata, wanita tidak seharusnya dipaksa untuk memakai tudung.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Disember 2017 @ 7:29 PM