SEORANG penunjuk perasaan memegang selipar berpura-pura mengetuk seorang rakannya memakai topeng Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ketika protes di Jakarta yang dihadiri puluhan ribu orang. - EPA
Reuters

New York: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempertimbangkan resolusi draf mendapati sebarang perubahan kepada status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan dan perlu dikekalkan seperti sebelumnya.

Teks draf satu muka surat oleh Mesir diedarkan kelmarin kepada 15 anggota majlis yang menurut Reuters tidak menyebut secara khusus Amerika Syarikat (AS) atau Presiden Donald Trump.

Diplomat berkata, mereka mempunyai sokongan kuat tetapi Washington mungkin akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang hasrat itu.

Difahamkan, satu undian Majlis Keselamatan PBB akan diadakan hari ini, dan resolusi berkenaan memerlukan sembilan undi sebagai sokongan tanpa veto daripada AS, Perancis, Britain, Russia atau China.

Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu yang mencetuskan bantahan dan kritikan keras komuniti antarabangsa, termasuk di Asia.

Susulan itu, resolusi berkenaan menekankan Baitulmaqdis isu yang perlu diselesaikan menerusi rundingan dan meluahkan kekesalan mendalam terhadap keputusan mengenai Baitulmaqdis, tanpa menyebut tindakan Trump.

“Sebarang keputusan dan tindakan yang mengubah sifat, status atau kedudukan demografi Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, tidak sah dan terbatal dan perlu dibatalkan,” kata draf itu.

Sementara itu, puluhan ribu umat Islam berarak dari masjid utama ke dataran di Jakarta, semalam membantah keputusan Trump.

Ia tunjuk perasaan terbesar di Indonesia dan polis menjangkakan perhimpunan anjuran pelbagai kumpulan pro Islam itu disertai kira-kira 80,000 orang.

“Kami menggesa semua negara menolak keputusan sebelah pihak dan sekat Trump menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel,” kata Setiausaha Agung Majlis Ulama Indonesia, Anwar Abbas.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 Disember 2017 @ 9:15 AM