Keadaan bas yang terjunam dari tebing setinggi kira-kira 100 meter ke tepi laut menyebabkan 48 terbunuh di Peru. - Foto EPA/REUTER
Keadaan bas yang terjunam dari tebing setinggi kira-kira 100 meter ke tepi laut menyebabkan 48 terbunuh di Peru. - Foto EPA/REUTER
AFP

SEKURANG-KURANGNYA 48 maut apabila bas mereka dinaiki terjunam ke dalam gaung setinggi kira-kira 100 meter selepas bertembung dengan trak di kawasan berbahaya yang digelar penduduk sebagai ‘selekoh syaitan’, hari ini.

Bas membawa 53 penumpang itu dalam perjalanan dari Huacho, menuju Lima apabila ia terjunam dari tebing tepi laut terbabit.

Ketua polis rondaan lebuh raya Kolonel Dino Escudero, berkata kejadian berlaku di lebuh raya pesisiran pantai, kira-kira 45 kilometer di utara Lima.

Katanya, usaha mencari dan menyelamat terpaksa ditangguhkan berikutan hari malam serta air pasang menenggelami bas.

Mangsa yang terselamat dipindahkan dengan helikopter manakala mayat dinaikkan menggunakan tali.

Tentera laut turut menghantar bot peronda untuk membantu mengeluarkan mangsa sebelum air terus pasang.

Lebuh Raya Pasamayo, lokasi nahas hanya digunakan lori dan bas manakala kereta menggunakan laluan lain.

Ia laluan berbahaya kerana sempit dan bergaung serta sering berkabus. Kelembapan tinggi turut menyebabkan jalan licin.

Jurucakap syarikat bas Transportes San Martin de Porres, Luis Martnez berkata, pemandu terbabit berpengalaman dan ditemani pembantunya dalam perjalanan itu.

Beliau bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan sama ada pemandu itu terselamat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 January 2018 @ 6:01 PM