Petikan rakaman CCTV tindakan pantas operator kren menyelamatkan mangsa kemalangan bas di China. - Foto SCMP
Petikan rakaman CCTV tindakan pantas operator kren menyelamatkan mangsa kemalangan bas di China. - Foto SCMP
Agensi

TINDAKAN pantas operator kren dan bijak, menyelamatkan empat penumpang selepas bas dinaiki mereka terhumban ke dalam sungai akibat kemalangan di Changzhou, wilayah Jiangsu.

South China Morning Post yang memetik laporan media China menyatakan, dalam kejadian Rabu lalu, bas berkenaan bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV).

Bas itu terbabas dan terjatuh ke dalam sungai dan mula tenggelam.

Operator kren berkenaan yang sedang bekerja di tapak pembinaan di seberang jalan, turun dari krennya dan bergegas ke lokasi kejadian untuk melihat dengan lebih dekat.

Dia kemudian berlari kembali ke krennya dan memandu jentera itu ke tebing sungai, memusingkan kren ke atas bas dan menurunkan kabel membolehkan semua empat penumpang berpaut pada kabel.

Dia kemudian memusingkan kren dan menurunkan mereka di atas jalan raya.

Pemandu bas berkenaan berjaya keluar dari bas dan menyelamatkan dirinya sebelum itu manakala pemandu SUV, tidak cedera.

Tindakan pantas pemandu kren itu hanya disedari selepas pihak berkuasa melihat rakaman CCTV di tempat kejadian sebelum disiarkan portal berita Vojs.cn.

Orang ramai yang memberi komen di media sosial, menganggapnya wira.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 January 2018 @ 9:10 PM