TRUMP
AFP

Washington: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump tidak mempunyai sebarang isu kognitif atau mental dan dijangka kekal cergas sepanjang tempoh pentadbirannya, kata doktor.

Dr Ronny Jackson pada sesi taklimat media berhubung pengumuman laporan itu berkata, kesihatan presiden berusia 71 tahun itu amat memuaskan.

“Semua data menunjukkan beliau sihat dan akan kekal begitu sepanjang tempoh pentadbirannya.

“Trump mempunyai gen hebat dan Tuhan menjadikan beliau begitu,” katanya yang bertugas sebagai doktor di Rumah Putih.

Jackson berkata, Trump yang baru-baru ini berhadapan spekulasi mengenai kecergasan mentalnya, meminta ujian kognitif dijalankan ke atasnya dan hasil pemeriksaan menunjukkan tahap kesihatannya amat memuaskan.

“Saya rasa dia melihat pemeriksaan kesihatan ini sebagai peluang untuk menyangkal dakwaan.

“Trump tidak bimbang kerana tiada apa yang hendak disembunyikan,” katanya.

Menurutnya, dalam ujian Penilaian Kognitif Montreal, Trump memperoleh mata penuh iaitu 30/30.

“Dia jelas tidak mempunyai sebarang isu kognitif atau mental,” katanya.

Selain itu, Jackson berkata, berdasarkan pengetahuannya, ini adalah kali pertama presiden yang masih berkhidmat menjalani penilaian seumpama itu.

Sebelum ini timbul spekulasi mengenai tahap kesihatan mental pemimpin itu selepas dia beberapa kali dilihat bersikap luar biasa .

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 18 January 2018 @ 1:15 AM