DUTERTE. Gambar kanan, Suu Kyi. FOTO EPA-EFE
DUTERTE. Gambar kanan, Suu Kyi. FOTO EPA-EFE
Reuters

New Delhi: Presiden Filipina Rodrigo Duterte memberitahu pemimpin Myanmar, Aung San Suu Kyi - yang dikecam hebat kerana gagal mempertahankan Rohingya di negaranya - supaya tidak menghiraukan aktivis hak asasi manusia yang disifatkan sebagai ‘tin kosong.’

Duterte berkata, dia membuat kenyataan itu ketika berucap pada Forum Perniagaan Filipina-India di New Delhi di mana dia dan Suu Kyi menghadiri persidangan negara-negara ASEAN.

“Kami cuma berbual mengenai kepentingan negara masing-masing dan saya berkata ‘usah hiraukan aktivis ini, mereka cuma tin kosong.

“Saya kasihankannya kerana dia tersepit, semata-mata menjadi pemegang Anugerah Nobel apabila isu ini dihebohkan menyebabkannya dikritik hebat,” katanya.

Duterte juga dikritik aktivis hak asasi kerana kempen antidadahnya yang melihat lebih 3,900 disyaki pengguna atau pengedar dadah terbunuh, kononnya kerana melawan ketika proses penangkapan.

Suu Kyi berdepan kritikan antarabangsa kerana gagal menyelesaikan nasib Rohingya, dengan lebih 655,500 melarikan diri ke Bangladesh untuk menyelamatkan diri daripada tindasan tentera Myanmar.

Ramai di Myanmar menganggap orang Rohingya pendatang tanpa izin Bangladesh. Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyelar kejadian di Myanmar sebagai pembersihan kaum, yang dinafikan kerajaannya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2018 @ 3:40 AM