SARAVANAN (tengah) dikawal ketat polis ketika dibawa ke mahkamah di Singapura kelmarin atas tuduhan membunuh pemandu treler. - Agensi
SARAVANAN (tengah) dikawal ketat polis ketika dibawa ke mahkamah di Singapura kelmarin atas tuduhan membunuh pemandu treler. - Agensi

Singapura: Seorang lelaki didakwa atas tuduhan membunuh selepas tindakannya bertengkar dengan pemandu treler dinaikinya mengakibatkan kemalangan yang meragut nyawa lelaki terbabit, minggu lalu.

Saravanan Arimuram, 31, didakwa Sabtu lalu atas tuduhan membunuh Sivakumar Perumal, 43, pada jam 5.50 petang pada Khamis lalu.

Menurut Sunday Times, Saravanan bertengkar dengan Sivakumar yang memandu sebuah treler menyebabkannya hilang kawalan di Jurong Town Hall Road.

Sivakumar mati akibat kecederaan pada wajah dan dadanya manakala seorang lagi lelaki berusia 18 tahun turut cedera tetapi dibenarkan pulang selepas mendapat rawatan di hospital.

Polis dalam satu kenyataan dikeluarkan sehari selepas kejadian berkata, siasatan awal menunjukkan nahas berlaku akibat pertengkaran berkenaan.

Dokumen mahkamah bagaimanapun tidak menyatakan sama ada kecederaan Sivakumar akibat kemalangan itu atau akibat pertengkaran sebelum itu.

Mahkamah menetapkan kes Saravanan disebut semula pada Jumaat ini dan tidak membenarkannya diikat jamin. Dia berdepan hukuman mati jika sabit kesalahan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2018 @ 9:09 AM
Digital NSTP Subscribe