PETIKAN rakaman video wanita warga Indonesia mendakwa memakan daging babi yang tular. FOTO Ihsan Agensi
PETIKAN rakaman video wanita warga Indonesia mendakwa memakan daging babi yang tular. FOTO Ihsan Agensi
Agensi

WANITA warga Indonesia yang memuat naik video mengaku memakan daging babi di Facebook tampil memohon maaf selepas mencetuskan kontroversi lalu mengaku ia sebenarnya adalah daging ayam.

Arsy Hallawi yang dipercayai bekerja di Hong Kong memuat naik satu video, baru-baru ini menunjukkan dia dengan bangga memakan daging masak kicap yang didakwanya babi.

“Ini paha babi yang masih muda, jadi dagingnya enak, empuk dan tidak keras," katanya sambil menunjukkan daging yang sudah dimasaknya.

Tidak cukup dengan itu, dia turut menuduh warga Indonesia yang bekerja di Hong Kong, Taiwan dan Singapura sebagai berbohong sekiranya mengaku tidak pernah makan daging babi.

Video berkenaan tular di media sosial termasuk di Malaysia dan menerima banyak kecaman kerana Arsy bertudung ketika memakan ‘daging’ itu.

Menurut laporan surya.co.id, selepas menerima banyak kecaman, Arsy memuat naik satu lagi video, hari ini bagi meminta maaf dan memberitahu, daging yang dimakannya itu sebenarnya adalah daging ayam.

Katanya, daging ayam dan kulit ayam yang putih itu diletakkan kicap untuk mengelirukan orang ramai.

“Saya juga meminta maaf kepada pekerja Indonesia di Singapura, Hong Kong dan Taiwan kerana menuduh mereka memakan daging babi,” katanya.

Wanita itu mendakwa dia sengaja memuat naik video itu kerana tertekan selepas sering dituduh cuba merampas suami orang.

“Walaupun kejadian itu sudah lama, tetapi ia tetap memberi tekanan kepada saya,” katanya dalam video berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 15 Mac 2018 @ 10:48 PM