Humayun (kiri) dan isterinya, Hosne. FOTO Agensi
AFP

Dhaka: Mahkamah Agung Bangladesh memutuskan seorang wanita yang membunuh diri empat tahun lalu adalah beragama Islam dan jenazahnya boleh dikebumikan di sebelah kubur suaminya.

Mahkamah pada minggu lalu mendapati Hosne Ara Lazu sudah memeluk agama Islam selepas berkahwin dengan Humayun Farid Lazu pada 2013 walaupun keluarganya mendakwa wanita itu kembali kepada agama Hindu sebelum kematiannya.

Keluarga kedua-dua pihak menentang perkahwinan berkenaan dan mendesak pasangan itu bercerai.

Akibat tekanan berkenaan Humayun yang ketika itu berusia 21 tahun bertindak membunuh diri pada 2014 dan Hosne pula yang berusia 18 tahun meminum racun dua bulan kemudian.

Kes itu menjadi perhatian umum selepas kedua-dua keluarga meminta mahkamah memutuskan sama ada Hosne dikebumikan mengikut ajaran Hindu atau Islam.

Keluarga Hosne mahu wanita itu dikebumikan mengikut agama Hindu manakala keluarga Humayun mendakwa dia beragama Islam dan mahu dikebumikan di sebelah kubur suaminya.

“Dia kini boleh dikebumikan sebagai orang Islam dan di sebelah kubur suaminya,” kata peguam yang mewakili keluarga Hosne, Samir Majumdar.

Susulan keputusan itu, mahkamah mengarahkan jenazah Hosne dikeluarkan dari rumah mayat selepas disimpan sejak kematiannya untuk dikebumikan.

Mahkamah juga mengarahkan polis memberi perlindungan sewajarnya ketika upacara pengebumian Hosne bagi mengelak sebarang kekacauan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 7:33 PM