Skip this ad x
KEADAAN selepas kejadian pembunuh tekad mati di dalam masjid. FOTO/AFP
AFP

KHOST (AFGHANISTAN): Jumlah kematian akibat dua serangan bunuh diri di sebuah masjid dikuasai golongan Syiah di timur Afghanistan meningkat kepada 35 orang.

Serangan membabitkan dua pengebom nekad terbabit berlaku ketika umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat di masjid di Gardez dalam wilayah Paktia.

Kedua-dua penyerang berpurdah itu menembak pengawal keselamatan dan jemaah sebelum meletupkan diri mereka.

Gabenor wilayah Paktia, Shamim Khan Katawazi berkata, jumlah kematian terus meningkat kepada 35 orang manakala 94 lagi mangsa mengalami kecederaan.

Terdahulu pihak berkuasa berkata 29 orang maut dalam serangan itu manakala 80 lagi tercedera.

“Hari ini kami mengebumikan semua pejuang yang terkorban dalam serangan Jumaat lalu,” kata Sayed Moharram yang kehilangan anak lelaki berusia 16 tahun.

“Amat sukar untuk saya menerima hakikat beliau tiada lagi bersama saya,” katanya sambil menangis teresak-esak.

Kumpulan perisik berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), SITE memetik kenyataan oleh saluran propaganda Daesh, Amaq sebagai berkata, kumpulan militan berkenaan mengaku bertanggungjawab dalam serangan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Ogos 2018 @ 9:28 AM